PERUNTUKAN RM4.5 BILION UNTUK 496 PROJEK PEMBANGUNAN DI JOHOR


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan di Kementerian Kewangan (MOF). | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI –– Sebanyak RM4.5 bilion diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk 496 projek pembangunan di Negeri Johor.

 

Berita baik itu dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan.

 

“Kerajaan Negeri juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah meluluskan 496 projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM4.5 bilion untuk projek pembangunan di Negeri Johor bagi tahun 2023.

 

“Alhamdulillah, semua ini tidak akan dapat dilaksanakan dan direalisasikan tanpa kerja keras semua pihak baik di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri,” katanya di laman Facebook rasminya.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan di Kementerian Kewangan (MOF).

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Johor, Anuar Abd. Manap.

 

Onn Hafiz berkata, kerja-kerja menaik taraf lebuh raya Negeri Johor melibatkan Senai Desaru Expressway (SDE) dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) juga akan dilaksanakan lebih awal berbanding penghujung 2024.

 

“Syukur Alhamdulillah, berkat penyelarasan di antara Kerajaan Negeri Johor, MOF dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), maka kerja-kerja fizikal dua projek pembangunan naik taraf lebuh raya Negeri Johor akan dilaksanakan lebih awal daripada perancangan asal.

 

“Pembinaan lorong memotong di SDE akan dimulakan pada November 2023 manakala pelebaran jalan lebuh raya PLUS akan dimulakan pada Februari 2024,” tambahnya.

 

Beliau turut berdoa agar kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus subur, dalam memastikan hasrat Negeri Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 tercapai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor