PESANAN PERMAISURI JOHOR JADI PEMBAKAR SEMANGAT
PONTIAN –– Pesanan DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah bukan sahaja menjadi pedoman tetapi juga azimat pembakar semangat kepada seorang penggiat seni kraf di Perusahaan Daya Kraf Pontian untuk menghasilkan produk kraf tangan unik dan berkualiti.
Itulah yang dialami Penggiat Seni Kraf, El-Nurshafiq Mokhyin, 29, berkata titah Baginda Tuanku Permaisuri ketika pertemuan pada tahun 2021 itu terus kekal segar dalam ingatan buat dirinya secara peribadi untuk terus menghasilkan inovasi di dalam produk kraf tangannya.
“Baginda Tuanku Permaisuri bertitah supaya saya terus maju untuk hasilkan produk ini (kraf tangan) dan Baginda juga turut menyatakan hasrat akan terus memantau perkembangan saya.
“Saya sangat-sangat menjunjung kasih kepada Baginda di atas titah berkenaan yang telah memberi semangat untuk saya terus berkecimpung di dalam industri seni kraf ini sejak enam tahun lalu,” katanya.
El-Nurshafiq berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor di Taman Rekreasi Pantai Rambah, di sini, hari ini.
Taman Rekreasi Pantai Rambah menjadi destinasi pertama persinggahan rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 yang diketuai DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Berangkat sama ialah DYAM Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam; YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim; YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim; Dato’ Dennis Muhammad Abdullah dan YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Terdahulu, El-Nurshafiq turut berkesempatan menghadiahkan cenderamata berupa beg tangan diperbuat daripada rotan kepada Tunku Tun Aminah.
Tambah El-Nurshafiq, Tunku Tun Aminah kelihatan ceria apabila menerima buah tangan hasil kreativitinya yang disiapkan dalam tempoh satu hari setengah sahaja.
“Baginda Tunku juga mempunyai pengetahuan yang cukup mendalam dalam seni kraf kerana dilihat begitu mahir ketika cuba menganyam sebentar tadi.
“Baginda turut memberi pujian kepada saya kerana teknik anyaman yang saya lakukan adalah rekaan moden dan selari dengan perkembangan fesyen semasa,” katanya.
Beliau juga turut memasang impian untuk kembali bertemu DYMM Permaisuri Johor bagi menghadiahkan produk terkini selain mempersembahkan perkembangan terkini Perusahaan Daya Kraf Pontian.
“Saya menyembah salam takzim kepada Baginda Tuanku Sultan dan Permaisuri Johor kerana sesungguhnya saya amat merindui baginda berdua,” tambahnya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor