PIJ PERKASA JALINAN KERJASAMA BERSAMA RAKAN STRATEGIK


Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Dato’ Abdul Rahman Salleh mempengerusikan mesyuarat jalinan kerjasama bersama rakan strategik PIJ. | Foto ihsan Perbadanan Islam Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Perbadanan Islam Johor (PIJ) terus komited dalam memperkasakan jalinan kerjasama bersama rakan strategik mereka yang melibatkan SIRIM Berhad dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta anak syarikatnya, PIJ Manufacturing Sdn Bhd (PIJM).

 

Sesi pembentangan pelaksanaan program yang dipengerusikan oleh Pengurus Besar PIJ, Dato’ Abdul Rahman Salleh telah diadakan baru-baru ini bagi memperkasakan usahawan di Negeri Johor.

 

Sesi perbincangan itu dimulakan dengan cadangan pelaksanaan program dengan kerjasama SIRIM yang dibentangkan oleh Timbalan Pengarah SIRIM Johor, Nurul Hayat Abd Jalal dalam merangka program bantuan kepada usahawan bagi mendapatkan pensijilan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Dalam kenyataan di Facebook rasminya, PIJ memaklumkan siri pertama Program Bantuan Kursus Kewangan dan Rancangan Perniagaan, Bantuan Amal Jariah PIJ ini sudah membuahkan hasil sejak ia dimulakan pada tahun 2021.

 

“Program ini juga menjadi batu loncatan kepada usahawan untuk mempromosikan produk dan hasil keluaran mereka bagi menembusi pasaran antarabangsa dengan sijil halal yang diluluskan,” katanya.

 

Dalam hantaran lain, pihak PIJ dan UTHM turut berkolaborasi dalam pelaksanaan penghasilan dan penerbitan naskhah berbentuk kitab agama dan penulisan ilmiah dalam melebarkan syiar Islam di Negeri Johor.

 

Projek penghasilan naskhah kitab agama yang dibentangkan oleh Ketua Jabatan (Sains Sosial), Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum UTHM, Dr. Harlina Halim ini merupakan projek di bawah Program Penerbitan Kitab Agama dan Penulisan Ilmiah, Bantuan Amal Jariah PIJ yang boleh diguna pakai sebagai rujukan di masa hadapan.

 

“Jalinan kerjasama antara PIJ dan UTHM juga memberikan peluang kepada pihak UTHM untuk mengetengahkan hasil penulisan mereka untuk diedarkan kepada rakyat Johor,” tambahnya.

 

Sesi perbincangan kemudiannya dilanjutkan bersama PIJM di bawah Program Ekonomi Berasaskan Syariah, Bantuan Amal Jariah PIJ menerusi pemasaran daging sejuk beku halal berskala besar.

 

“Program ini adalah suntikan kepada PIJM dalam bentuk peralatan kelengkapan perniagaan bagi melaksanakan pemasaran daging sejuk beku halal yang lebih luas meliputi pasar raya besar di Malaysia,” jelas PIJ.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor