JOHOR, SINGAPURA KOMITED ATASI KESESAKAN DI PINTU SEMPADAN


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Singapura juga bersedia untuk turut sama membantu dengan beberapa tindakan proaktif bagi mengurangkan kesesakan di pintu sempadan antara yang tersibuk di dunia itu. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI –– Usaha Kerajaan Negeri Johor dalam mengurangkan kesesakan di Tambak Johor juga mendapat reaksi yang positif daripada Kerajaan Singapura.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Singapura juga bersedia untuk turut sama membantu dengan beberapa tindakan proaktif bagi mengurangkan kesesakan di pintu sempadan antara yang tersibuk di dunia itu.

 

“Antara yang sedang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura ialah pengurusan trafik dinamik pada masa nyata supaya pihak berwajib dapat memahami aliran trafik serta waktu bersesuaian untuk melakukan operasi khas.

 

“Bermula awal tahun depan, Singapura akan memperkenal Sistem Automatik Pelepasan Dalam Kereta Penumpang (APICS) di mana ia menggunakan kod tindak balas cepat (QR) di kaunter dan pegawai imigresen akan menjalankan pemeriksaan imej muka penumpang di dalam kereta menggunakan data yang diperoleh melalui kod berkenaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian di laman Facebook rasminya pada Sabtu selepas melawat Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura bagi melihat sendiri gerak kerja pengurusan pintu sempadan di negara republik berkenaan.

 

Tambah beliau, Singapura juga bercadang memperkenalkan sistem lingkaran membantu perkhidmatan bas Causeway Link (CW) supaya ia tidak lagi perlu melepasi pemeriksaan imigresen, sebaliknya boleh membuat pusingan U untuk mengambil atau menurunkan penumpang di Woodlands Checkpoint atau Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

 

“Semoga segala perancangan kedua-dua negara ini akan memberi sejuta manfaat kepada pengguna. Insya-Allah,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor