PPAJ TAYANG FILEM ISLAMIK RUSIA


Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berangkat ke Majlis Perasmian Program Kazan (Russia) International Muslim Festival di Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ). | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) terus komited memperluaskan fungsi perpustakaan bukan sahaja sebagai lokasi sumber ilmu malah menjadi pusat aktiviti yang pelbagai kepada orang ramai termasuklah menganjurkan Program Kazan (Russia) International Muslim Film Festival.

 

Sebanyak tujuh filem utama berunsur islamik dari Republik Tartastan, Persekutuan Rusia telah dipilih untuk ditayangkan bermula 13 hingga 15 Jun ini secara percuma menerusi program dengan kerjasama Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia di PPAJ.

 

Dilihat sebagai ‘koridor selatan’ kepada pelancong terutama dari Singapura dan Indonesia, Johor merupakan negeri kedua selepas Selangor terpilih menganjurkan program yang mengetengahkan filem memperkenalkan Rusia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya.

 

Program itu juga membantu mempromosikan Negeri Johor sebagai destinasi pelancongan menarik selain menyediakan ruang kepada pengunjung PPAJ memahami kehidupan dan budaya Kazan selain menjadi landasan pertukaran idea antara pengarah serta pelajar tempatan dengan produksi filem dari negara itu.

 

Terdahulu, Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berangkat ke Majlis Perasmian Program Kazan (Russia) International Muslim Festival di PPAJ, hari ini.

 

Hadir sama, YDH Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor, Isteri YAB Menteri Besar Johor; YB Khairin-Nisa Ismail , Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor; YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta YM Ungku Noorakmal Ungku Sulaiman, Pengarah PPAJ.

 

Turut berlangsung Majlis Menandatantangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara PPAJ bersama Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia sebagai inisiatif jangka panjang kolaborasi meliputi pertukaran idea, bahan percetakan, pendidikan serta latihan sains.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor