PRASARANA BAHARU LONJAK EKOPELANCONGAN KAMPUNG SUNGAI MELAYU


Pintu Gerbang Salam Kampung Sungai Melayu yang siap dibina oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Pembinaan pintu gerbang, dua pangkalan, dua mercu tanda serta sebuah kemudahan inap desa bakal menjadi identiti baharu Kampung Sungai Melayu dan seterusnya meletakkan perkampungan yang kaya dengan keindahan flora dan fauna itu sebagai antara destinasi ekopelancongan yang perlu dilawati oleh pelancong.

 

Ia susulan daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Johor 2024 yang memperuntukkan sebanyak RM12.2 juta bagi Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Melayu.

 

Sehingga kini, pembinaan Pintu Gerbang Salam yang bernilai RM500,000 telah siap dibina oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, selain beberapa projek prasarana lain kini sedang rancak dilaksanakan yang dijangka dapat disiapkan pada 2025 kelak.

 

Antara kemudahan pembangunan yang sedang giat dijalankan ialah Hentian Leluri, Pangkalan Leluri dan sebuah kompleks inap desa yang apabila siap kelak dijangka bukan sahaja dapat menarik kedatangan pelancong tetapi juga turut dapat memperkasakan ekonomi penduduk setempat dan sekitarnya.

 

Tidak cukup dengan itu, usaha untuk membangunkan Kampung Sungai Melayu ini turut disokong dengan pembinaan dua mercu utama iaitu masing-masing di Titian Perepat dan Tanjung Tok Fattah yang secara tidak langsung menjadi antara daya tarikan terkini pelancong ke lokasi ekopelancongan berkenaan.

 

YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Kota Iskandar memberitahu menerusi inisiatif itu, pihaknya berharap limpahan kemakmuran ekonomi yang bakal dijana di perkampungan nelayan tradisi itu akan turut memberi manfaat kepada penduduk setempat, sekali gus membantu merealisasikan agenda Tahun Melawat Johor 2026 akan datang.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor