PRK PULAI, SIMPANG JERAM 9 SEPTEMBER INI


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Ogos sementara pengundian awal pada 5 September. | Foto ihsan FB SPR

 

ISKANDAR PUTERI — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 9 September ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

 

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Ogos sementara pengundian awal pada 5 September.

 

“PRK Parlimen Pulai mengandungi seramai 163,653 pemilih terdiri daripada 165,700 pengundi biasa, 927 polis dan 26 pengundi luar negara.

 

“Manakala PRK Simpang Jeram mengandungi seramai 40,379 pemilih terdiri daripada 40,373 pengundi biasa dan enam pengundi luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelasnya, seramai 2,692 petugas akan dilantik mengendalikan proses PRK Parlimen Pulai sementara 678 petugas untuk PRK Simpang Jeram.

 

“PRK Parlimen Pulai dianggarkan mengguna peruntukan sebanyak RM4.5 juta manakala PRK DUN Simpang Jeram memerlukan peruntukan sebanyak RM1.5 juta,” tambahnya.

 

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahudin Ayub pada 23 Julai selepas mengalami pendarahan otak.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor