PROGRAM JOHOR BERSIH TERUS DISEMARAKKAN


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mahu program Johor Bersih diperhebatkan dengan penglibatan menyeluruh rakyat negeri ini | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri komited menyemarakkan lagi program Johor Bersih bagi memastikan segenap lapisan masyarakat menyahut seruan menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bagi menjayakan usaha tersebut juga, sokongan pihak media diperlukan untuk menyampaikan mesej kerajaan negeri tentang program itu kepada masyarakat.

 

“Agenda Johor Bersih ini sebenarnya telah dilancarkan sejak tahun lepas, tetapi cabaran sebenar ialah untuk menukar minda dan sikap segenap lapisan Bangsa Johor tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

 

“Atas sebab itu juga saya memohon pihak media untuk memperhebatkan lagi penyampaian mesej ini kepada orang awam. Dengan kerjasama semua pihak, saya dan kerajaan negeri optimis kita boleh menjadikan Johor lebih bersih dan baik,” kata beliau.

 

Terdahulu, beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor bersama pasukan meneruskan turun padang menjayakan program Johor Bersih.

 

Onn Hafiz berkata, dalam usaha untuk bersama menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030, semua pihak tidak boleh mengabaikan aspek kebersihan.

 

Selain itu, beliau sudah berbincang Mohd Jafni dan Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Mohd Noorazam Osman untuk memperhebatkan lagi penguatkuasaan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

 

“Mengikut akta ini, mana-mana pihak yang didapati sengaja membuang sampah di tempat awam boleh didenda maksimum RM500 jika disabit buat kali pertama,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor