PROJEK LENCONGAN SUNGAI SEGAMAT KURANGKAN IMPAK BANJIR


Fenomena air lalu menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Seri Medan, Batu Pahat dilanda banjr / Gambar MDJ Muhammad Izuan Mohd Nizam.

 

BATU PAHAT — Fenomena ‘air lalu’ dari Sungai Chaah di bahagian hulu dan ditambah taburan hujan yang tinggi menyebabkan beberapa kawasan di Seri Medan di sini, dilanda banjir.

Bagaimanapun, penduduk di sekitar Seri Medan berkata banjir yang melanda kini tidak seteruk dahulu berikutan inisiatif kerajaan membuat lencongan di Sungai Segamat menyebabkan aliran air berubah ke kawasan lain.

Penduduk Kampung Parit Jayus, Jamali Sulaiman, berkata faktor geografi Seri Medan yang merupakan sebuah lembah kerana dikelilingi bukit dan juga berdataran rendah menyebabkan lokasi ini sering dilanda banjir.

“Sekitar 1970an dan 1980an, boleh dikatakan kawasan ini akan dilanda banjir pada akhir dan awal tahun. Kalau Disember dan Januari akan banjir. Tidak dapat tidak ia akan berlaku dan lebih memburukan ia akan menyebabkan banjir termenung dalam tempoh yang lama iaitu sekitar enam bulan.

“Namun keadaan banjir semakin baik selepas pihak kerajaan membuat sistem saliran yang lebih baik. Namun, seperti tahun 2006 dan 2007 lalu, ia agak teruk sebab taburan hujan yang tinggi dan pada masa sama limpahan air dari Sungai Segamat dan Sungai Chaah masuk ke kawasan ini. Orang di sini panggil ‘air lalu’ dari sebelah hulu sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Sejati, Seri Medan, Batu Pahat.

Jamali yang juga sedang berlindung di PPS berkenaan berkata, bagimanapun kejadian banjir dilihat semakin baik berbanding tahun terdahulu apabila pihak kerajaan melaksanakan Projek Lencongan Sungai di Sungai Segamat sejak beberapa tahun lalu.

Bagi penduduk Kampung Parit Basri, Noraini Jamal, berkata jika tiada inisiatif projek lencongan di Sungai Segamat mungkin menyebabkan banjir menjadi lebih teruk.

“Mujurlah Sungai Segamat sudah dilencongkan ke Sungai Muar kalau tidak mungkin keadaan banjir di sini semakin teruk. Muka bumi Seri Medan yang seperti kawah, berdataran rendah dan dikelilingi bukit menyebabkan ia mudah dilanda banjir.

“Banjir tahun 2006 dan 2007 antara paling teruk apabila limpahan Sungai Segamat dan Sungai Chaah melimpah masuk ke Seri Medan. Itu yang menyebabkan banjir menjadi teruk.

“Alhamdulillah, projek kerajaan yang melencongkan Sungai Segamat menyebabkan limpahan air tidak melalui kawasan Seri Medan lagi,” katanya.

Bagi Sabri Muhayat pula, projek lencongan itu sememangnya banyak memberi manfaat kepada penduduk kerana ia mengurangkan sedikit impak banjir berbanding dahulu.

“Banjir kali ini boleh dikatakan disebabkan fenomena air lalu dari hulu dan ditambah dengan keadaan air pasang dihilir serta taburan hujan yang tinggi. Paras air sungai yang tinggi menyebabkan aliran dari kawasan parit dan sistem saliran menjadi perlahan untuk ke kawasan laut.

“Lagi pula pertembungan sungai di Kampung Selulun kerana dua sungai iaitu Sungai Chaah dan Batu Pahat akan bertemu di situ menyebabkan keadaan paras air juga lambat surut berbanding keadaan biasa,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor