PROJEK LORONG TAMBAHAN MENGIKUT JADUAL


YB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bersama YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meninjau status kerja projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya PLUS laluan Sedenak-Kulai. | Foto Facebook Alexander Nanta Linggi

 

#IskandarPuteri – Projek pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Fasa 1 dari Yong Peng hingga Senai arah Utara yang bermula pada Julai tahun lalu, berjalan mengikut jadual dan telah mencapai kemajuan sebanyak lima peratus.

 

Dijangka siap pada suku kedua tahun 2027, projek bernilai RM515 juta itu bertujuan menangani kesesakan di lebuh raya berkenaan yang sering berlaku terutama ketika waktu puncak seperti cuti umum, cuti persekolahan serta musim perayaan.

 

Projek pembinaan lorong tambahan melibatkan pelebaran dari dua ke tiga lorong itu dijalankan secara berfasa iaitu Fasa 1 ke Fasa 3 dari Senai (arah Utara) ke Machap dengan peruntukan RM249 juta dikhususkan untuk jajaran Sedenak – Kulai.

 

Pembinaan lorong tambahan bagi fasa 1 itu yang merangkumi jarak sejauh 21.8 kilometer (km) dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun bakal memberi manfaat kepada lebih 90,000 pengguna harian lebuh raya terbabit.

 

Aktiviti utama yang sedang giat dijalankan di lokasi termasuk kerja-kerja tanah, pemotongan dan tambakan cerun, pembinaan struktur perparitan, pengalihan utiliti serta pelaksanaan pelan pengurusan trafik diikuti pembinaan lorong tambahan secara berperingkat.

 

Bagi mengurangkan kesesakan sempena perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, Kementerian Kerja Raya sudah mengarahkan kerja-kerja dijalankan di lokasi terbabit tidak melibatkan sebarang penutupan lorong di kedua-dua arah agar tidak mengganggu aliran trafik sedia ada.

 

Terdahulu, YB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bersama YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) meninjau status kerja projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya PLUS laluan Sedenak-Kulai.

 

#BangsaJohor
#MediaDigtalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor