INDUSTRI HALAL ELEMEN PENTING JS-SEZ


YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah memulakan langkah awal termasuk menghubungi Halal Development Corporation Bhd. (HDC) bagi sesi perbincangan untuk meletakkan industri halal sebagai salah satu elemen penting dalam pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Kerjasama dengan agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terutama HDC merupakan usaha penting untuk merangka dan membina sektor halal dari sudut pemerkasaan industri tempatan, pembangunan modal insan, pensijilan, memasuki pasaran luar serta pemantapan kedudukan dalam pasaran.

 

Selain itu, JAINJ turut membantu memendekkan kelulusan sijil halal dari 60 hari kepada 30 hari, melaksanakan program kesedaran percuma bersama rakan strategik serta pengurangan dan pengecualian syarat lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi meningkatkan penglibatan usahawan halal dalam zon khas berkenaan.

 

Menerusi kesemua inisiatif tersebut, Kerajaan Negeri percaya akan membolehkan Negeri Johor untuk mengambil bahagian secara kukuh dalam pasaran global halal yang bernilai USD3 trilion.

 

Untuk rekod, sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Tahun 2023 sahaja telah merekodkan kadar 7.9 peratus dengan jumlah eksport RM53.72 bilion iaitu 3.8 peratus berbanding jumlah keseluruhan eksport negara yang melebihi RM1.43 trilion.

 

Terdahulu, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor