PSJ PASTIKAN FASILITI SUKAN ‘TIP TOP’


YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Menerusi Pelan Induk Perbadanan Stadium Johor (PSJ), kemudahan atau fasiliti di bawah perbadanan berkenaan terutama yang uzur berada dalam radar Kerajaan Negeri untuk diselenggara dan dibaik pulih bagi menggalakkan kegiatan sukan di negeri ini.

 

Selain mempunyai senarai kemudahan yang perlu diberi perhatian terutama dari aspek fizikal, pelan induk berkenaan juga menjadi panduan hala tuju pembangunan bukan sahaja kemudahan yang uzur malah semua 10 fasiliti sukan di bawah kendalian PSJ.

 

Selain itu, pelan induk PSJ juga sudah mengenal pasti kerja-kerja menaik taraf, membaik pulih dan pengindahan bersesuaian bagi setiap fasiliti dikendalikan mengikut jadual yang dirancang bagi memastikan kos penyelenggaraan dapat dikurangkan.

 

Tiga fasiliti PSJ yang paling lama telah wujud iaitu Kompleks Sukan Kluang, Akademi Badminton Taman Perling dan Stadium Hoki Taman Daya juga terus diberikan perhatian menerusi kerja-kerja penyelenggaraan bagi menjamin keselamatan dan kepuasan pelanggan.

 

Terdahulu, YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menjawab soalan YB Sahrihan Jani, Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor kawasan Gambir mengenai usaha Kerajaan Negeri mengatasi isu fasiliti sukan uzur pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor