IIB KUKUH EKOSISTEM GBS ISKANDAR @ MEDINI


Iskandar Investment Berhad (IIB) memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) utama bersama GBS Malaysia dan iTrain Asia serta kolaborasi dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Iskandar Investment Berhad (IIB) mengorak langkah mengembangkan perkongsian Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Iskandar @ Medini menerusi pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) utama bersama GBS Malaysia dan iTrain Asia serta kolaborasi dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

Selain memperkasakan ekosistem GBS di Medini, kerjasama berkenaan turut memperkukuhkan komitmen IIB bagi meletakkan Medini sebagai Daerah Perniagaan Pusat (CBD) Sifar Karbon Bersih pertama di rantau ini menjelang tahun 2030, dengan memfokuskan pada teknologi, inovasi dan GBS.

 

Malah IIB terus komited bagi merealisasikan sasaran pelaburan sebanyak RM1 bilion di Medini menjelang tahun 2030 yang turut membantu menjana kira-kira 2,500 peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi digital sekali gus mengukuhkan kawasan berkenaan sebagai hab digital dan inovasi di Negeri Johor.

 

Kerjasama IIB dengan iTrain Asia adalah untuk menguatkan usaha impak inisiatif ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ disesuaikan bagi pemerkasaan syarikat bagi meningkatkan rantaian nilai menerusi kecerdasan buatan (AI), automasi dan kelestarian sekali gus memastikan tenaga kerja GBS dilengkapi pengetahuan terkini.

 

Manakala dengan MDEC pula bagi memacu pelaburan langsung asing untuk industri GBS di mana perkongsian berkenaan dijadualkan akan diumumkan pada suku ketiga tahun ini, dengan mensasarkan syarikat-syarikat baharu yang mencari persekitaran yang strategik dan menyokong kepada pengembangan.

 

Untuk rekod, GBS Iskandar menerusi usahasama antara IIB dan GBS Malaysia berjaya merekodkan RM2.6 bilion pelaburan dan mewujudkan 6,500 pekerjaan di Medini sejak dilancarkan pada tahun 2016 yang disokong oleh kedudukan yang strategik serta ketersambungan mod pengangkutan melalui darat, udara dan laut.

 

YBhg. Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif memaklumkan pihaknya amat menghargai sokongan rakan kongsi dan pemegang taruh dalam bersama menjayakan matlamat strategik mereka sekali gus mengangkat Medini sebagai pintu masuk pilihan ke Asia Tenggara seterusnya menyumbang kepada menjayakan visi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor