KERAJAAN NEGERI SOKONG USAHA BASMI KEMISKINAN


Majlis simbolik penyampaian peruntukan RM2.46 juta disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kerajaan Johor memperuntukkan RM2.46 juta bagi pelaksanaan Southern Volunteers (SV) Prihatin @ Johor Future, Sukan Bangsa Johor dan juga Misi Jejak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Johor 2024 yang diadakan bagi usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat Johor.

 

YB Dato’ Hj On Jaabar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) memberitahu, pihaknya berterima kasih atas peruntukan itu yang akan digunakan sebaik mungkin dalam menyemarakkan program yang bukan sahaja berkaitan dengan golongan belia, tetapi juga membantu usaha dalam membasmi isu miskin tegar.

 

Ujarnya, ia sekali gus dapat membantu pihak berkaitan melaksanakan peranan masing-masing menerusi program yang akan dijalankan, selain ia juga merupakan sokongan kepada titah yang dibangkitkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sebelum ini.

 

“Dengan adanya program di bawah pejabat TSUK SBS ini, ia selaras dengan sasaran di peringkat negeri untuk membasmi masalah kemiskinan. Pihak kami akan mengembelengkan usaha golongan belia-belia dan persatuan NGO untuk turut sama membantu golongan yang memerlukan ini,” katanya.

 

Majlis simbolik penyampaian peruntukan ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. Pada majlis sama, peruntukan sebanyak RM44,000 turut diagihkan kepada setiap 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang disampaikan oleh YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor