PUPUK NILAI ‘CANVAS UNITY’ DALAM MASYARAKAT


Lim San Shien selaku moderator Wacana Kelestarian Keselamatan, Perpaduan dan Keharmonian Negara sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang berlangsung di Angsana Mall Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara

 

‘Faham, Hormat dan Terima’ merupakan elemen perpaduan ‘canvas unity’ yang perlu ada dalam setiap lapisan masyarakat bagi melaksanakan tanggungjawab memelihara dan mempertahankan keharmonian negara.

 

Tugas mengukuhkan perpaduan tidak seharusnya diletakkan kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) semata-mata, sebaliknya perlu digalas secara bersama oleh masyarakat termasuklah belia.

 

Bertindak selaku moderator Wacana Kelestarian Keselamatan, Perpaduan dan Keharmonian Negara, Lim San Shien mahu golongan berkenaan aktif memainkan peranan sebagai ejen menyuburkan perpaduan.

 

Duta Perpaduan Johor itu yakin dan percaya elemen patriotisme yang menebal dalam diri belia sangat diperlukan untuk membina ketahanan di saat menyampaikan aspirasi perpaduan dalam era digitalisasi pada masa kini.

 

Meskipun memiliki kebebasan mengeluarkan pendapat terutama di media sosial, ia bukanlah ‘tiket’ untuk 23 juta pengguna platform berkenaan di negara ini melanggar norma dan batas dengan menyentuh sensitiviti serta 3R (Agama, Kaum dan Raja).

 

Justeru, masyarakat termasuk belia dinasihatkan untuk tidak menyebar kebencian, propaganda dan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian negara kerana pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan.

 

Terdahulu, wacana dengan topik ‘Media Sosial dan Perpaduan : Ancaman atau Peluang’ sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang berlangsung di Angsana Mall Johor Bahru, hari ini.

 

Wacana tersebut telah menampilkan ACP Ridzuan Abdul Aziz, Pegawai Perancangan dan Kajian Strategik E8, Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman; Junaid Izuddin Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor serta Kennimrod Sariburaja, Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) Kementerian Luar Negeri selaku ahli panel.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor