RAHIMAH MUDA DIPILIH TOKOH SASTERAWAN JOHOR


Rahimah Muda ketika ditemui pada sesi sidang media semalam. | Foto MDJ: Wira Anggara

 

JOHOR BAHRU —Anugerah Sastera Johor 2023 anjuran Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengangkat bekas wartawan sambilan akhbar tempatan, Rahimah Muda, 60, sebagai Tokoh Sasterawan Johor.

 

Aktif menulis cerpen ketika usia 43 tahun, beliau akui pada mulanya seakan tidak percaya apabila dinobatkan selaku penerima anugerah utama tersebut.

 

Anak jati Johor itu menyifatkan dirinya bermula agak lewat dalam industri penulisan, namun keadaan tersebut tidak menghalang untuk terus berjuang dalam penulisan sastera.

 

“Mulanya saya tidak begitu terkejut apabila mendapat panggilan telefon daripada YWJ mengatakan bahawa saya memenangi anugerah sastera sebab itu adalah perkara biasa bagi saya. Setelah diberitahu bahawa anugerah yang saya menangi adalah Anugerah Tokoh Sasterawan Johor, saya terus lemah dan tak percaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Anugerah Sastera Johor 2023 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, di sini semalam.

 

Rahimah memberitahu telah bergaul dengan penulis ternama di negara ini sebelum mula aktif dalam penulisan karya kreatif seterusnya belajar selok belok untuk meraih tempat di hati pembaca sebaik sahaja berada dalam industri.

 

“Dahulu saya seorang wartawan, bermula dengan penulisan esei. Pada bulan kedua, saya berjaya menjadi naib johan Pertandingan Menulis Esei Negeri Johor. Dua bulan kemudian, saya memenangi Johan Sayembara Menulis Cerpen Johor 2006 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya juga pernah memenangi pertandingan cerpen peringkat negara selama beberapa tahun berturut-turut,” katanya.

 

Bagi dirinya, menghasilkan sesebuah karya merupakan antara cara untuk beliau memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

 

“Kita sebagai penulis perlu masuk dan menulis ikut citarasa masyarakat. Sebagai contoh, cerpen saya ‘Perempuan Berkebaya Merah’ yang mana boleh menarik minat pembaca sastera di kalangan remaja.

 

“Negeri Johor merupakan negeri yang sangat mengiktiraf sastera dan penganjuran anugerah ini merupakan inisiatif terbaik Kerajaan Negeri melalui YWJ dalam menghargai usaha-usaha pengiat seni sastera,” katanya.

 

Anugerah Sastera Johor memasuki edisi ke-13 pada tahun ini, di mana kali pertama diadakan ketika 1996 sebagai platform Kerajaan Negeri menghargai sumbangan penulis, pemikir dan karyawan di Negeri Johor.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor