JANGAN BERMAIN DENGAN HUKUM AGAMA


Kenyataan media yang dikeluarkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

 

Tiada siapa atau pihak sama ada secara peribadi atau mewakili mana-mana pertubuhan di negeri ini, layak dan berhak serta berkuasa menetapkan atau mengeluarkan atau mengumumkan sebarang hukum dan fatwa di dalam urusan beragama selain daripada ketetapan sebagaimana Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

 

Fatwa yang merupakan jawapan hukum agama bagi pelbagai situasi yang berlaku hanya boleh ditetapkan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa malah boleh dibuat dan diputuskan sama ada atas perintah DYMM Sultan selaku Ketua Agama Islam dan boleh atas kehendak jawatankuasa atau atas permintaan umum kepada mufti seperti digariskan dalam Enakmen berkenaan.

 

Justeru, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menasihatkan semua pihak supaya sentiasa menjaga adab dan perpaduan sesama umat Islam serta seluruh masyarakat di negeri ini, sekali gus menghentikan pernyataan yang memecah belahkan kesatuan mahupun mengelirukan Bangsa Johor.

 

Di bawah naungan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, agama Islam kekal dimartabat dan diimarahkan pensyariatannya dengan pengembangan dakwah serta syiar Islam yang berterusan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor