RAKYAT MAHU AGENDA MAJU JOHOR TERUS DIPERKASAKAN

Rata-rata rakyat mahu pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini diteruskan dan ditambah baik agar manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh masyarakat di seluruh negeri ini. | Foto MDJ Nazreen Aimie

 

#IskandarPuteri – Selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16, semua rakyat di negeri ini berharap agenda pembangunan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat akan dapat terus diperkasakan bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pembangunan negeri dapat diteruskan sepanjang penggal pentadbiran baharu kelak.

 

Tinjauan Media Digital Johor mendapati rata-rata rakyat mahu pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini diteruskan dan ditambah baik agar manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh masyarakat di seluruh negeri ini.

 

Bagi Othman Md Shah, 29, pengundi di Kukup, Pontian, pelaksanaan Agenda Maju Johor wajar diteruskan memandangkan pembangunan kini dilihat semakin menyeluruh dan tidak lagi tertumpu di kawasan bandar, malah limpahan aktiviti ekonomi yang semakin berkembang memberi keyakinan bahawa Johor berada di landasan tepat untuk terus maju.

 

Sementara itu, Nur Sabiah Abd Jalil, 25, pengundi di Larkin, Johor Bahru pula berharap Kerajaan Negeri terus memperkukuh inisiatif yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek kesejahteraan dan kebajikan, sambil menyifatkan Bantuan Kasih Johor (BKJ) sebagai antara inisiatif yang banyak membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup.

 

Mohamad Termezee Haris, 43, yang turut mengundi di Larkin, Johor Bahru, berpandangan penyediaan lebih banyak rumah mampu milik serta kesinambungan dasar dan inisiatif berkaitan perumahan perlu terus diberi perhatian bagi membantu lebih ramai golongan B40 memiliki kediaman sendiri.

 

Beliau turut berharap pelbagai dasar dan program yang memberi manfaat kepada rakyat dapat diteruskan serta terus diperkasakan melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa.

 

Secara keseluruhannya, rakyat di negeri ini berharap agar kepimpinan Kerajaan Negeri bagi penggal baharu ini dapat meneruskan agenda pembangunan, memperkukuh ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan serta memastikan manfaat kemajuan dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh Bangsa Johor.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor di hadapan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dalam Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, pada Ahad.

 

#JohorSafeZone
#HarapanRakyat
#MenteriBesarJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor