RM168 JUTA UNTUK TANGANI PRASARANA TERJEJAS BANJIR JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik taraf Jalan Utama Gelang Patah – Ulu Choh (J7) di Taman Nusantara, hari ini.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak RM168 juta peruntukan dianggarkan bagi melaksanakan baik pulih serta menaik taraf jalan raya yang terjejas akibat banjir di negeri ini, setakat minggu lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bagaimanapun nilai tersebut dijangka bertambah sebaik sahaja banjir pulih.

 

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi tengah melawat kawasan-kawasan yang dilanda banjir dan kemungkinan besar kos itu akan meningkat lagi.

 

“Tapi kita tengok nanti (peningkatan kos), pihak JKR dan konsesi sedang jalankan penilaian terhadap harta-harta yang rosak ini,” kata beliau ketika sidang media selepas menyempurnakan perasmian dan penyerahan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik taraf Jalan Utama Gelang Patah – Ulu Choh (J7) di Taman Nusantara, di sini, hari ini.

 

Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri telah memohon sejumlah peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pasca banjr meliputi usaha baik pulih kerosakan dan menaik taraf jalan di Johor.

 

Beliau turut memaklumkan bencana kali ini mengakibatkan berlakunya cerun runtuh, bekalan utiliti terjejas selain kerosakan infrastruktur dan prasarana meliputi jambatan, tiang lampu serta paip air.

 

“Setakat hari ini, saya difahamkan, semua tempat telah mendapat bekalan elektrik seperti biasa. Cuma ketika banjir tempoh hari, fokus kita di pusat pemindahan sementara (PPS).

 

“Ada beberapa tempat yang kita terpaksa putuskan bekalan sebab keselamatan dan juga keselamatan aset itu sendiri. (Namun) Tiada laporan PPS tiada bekalan elektrik dan ada beberapa PPS yang disediakan GenSet,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor