KERAJAAN JOHOR KOMITED TAMBAH BAIK JARINGAN JALAN RAYA


Kerja-kerja membaikpulih pada fasa pertama melibatkan jalan di FT005 Jalan Johor Bahru – Melaka yang akan ditutup untuk satu lorong sepanjang tiga kilometer selama empat hari bermula 14 Mac 2023 sehingga 17 Mac 2023 / Sumber Gambar Facebook Fazli Salleh.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor sudah mengemukakan permohonan peruntukan ke Kerajaan Persekutuan bagi tujuan kerja baik pulih jalan di negeri ini, termasuklah Jalan Johor Bahru – Melaka FT005.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri kini menunggu peruntukan tersebut dapat disalurkan pada tahun ini.

 

“Kerajaan Johor komited bagi membaiki jalan di lebuhraya FT005 Jalan Johor Bahru – Melaka.

 

“Bagi fasa pertama, tindakan akan dibuat dengan membaiki jalan sepanjang tiga kilometer dari Seksyen 72.5 hingga 75.5 (Berhampiran dengan Masjid Pekan Parit Tengah menghala ke Jambatan Sungai Sanglang), Daerah Pontian,” kata beliau dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Mohamad Fazli berkata, kaedah pembaikan yang terbaik digunakan di FT005 Jalan Johor Bahru – Melaka bagi fasa tersebut adalah melalui ‘Mill & Pave’ dan ‘Cold In- Place Recycling’ (CIPR).

 

“Dengan kaedah ini, ianya dapat menjamin ketahanan kualiti jalan yang selamat dalam jangka masa lima tahun.

 

“Penutupan lorong tidak dapat dielakkan disebabkan kerana kaedah CIPR perlu mengambil masa selama minimum empat hari bagi mendapatkan kekuatan struktur ‘roadbase’ sebelum kerja turapan premix dilaksanakan,” katanya.

 

Beliau menasihatkan pengguna agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda trafik serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

 

“Diharapkan para pengguna dapat bersabar demi kebaikan dan keselamatan semua pengguna di masa hadapan.

 

“Kerja pembaikan jalan di FT005 Jalan Johor Bahru – Melaka akan ditutup untuk satu lorong sepanjang tiga kilometer selama empat hari bermula 14 Mac 2023 sehingga 17 Mac 2023,” kata beliau lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor