USAHA NAIK TARAF JALAN BERI KESELESAAN KEPADA PENGGUNA


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengagihkan cenderahati kepada pengguna jalanraya di Jalan Utama Gelang Patah – Ulu Choh (J7), dekat Taman Nusantara, semalam.

 

ISKANDAR PUTERI — Usaha Kerajaan Negeri menaiktaraf Jalan utama Gelang Patah – Ulu Choh (J7) sepanjang 2.15 kilometer memberikan kemudahan kepada penduduk setempat khususnya Taman Nusantara, dekat sini.

 

Penyerahan projek pembangunan Kerajaan Johor itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, semalam.

 

Mohamad Fazli berkata, projek tersebut melibatkan pelebaran jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala, dengan dilengkapi lampu jalan dan lampu isyarat serta pembinaan dan menaiktaraf sistem perparitan.

 

“Tarikh siap asal projek adalah pada 15 Disember 2019 dengan kos keseluruhan RM7.1 juta. Bagaimanapun projek ini telah siap sepenuhnya pada 12 April 2022 atas beberapa faktor.

 

“Penyiapan projek ini akan memberikan kemudahan buat penduduk setempat terutama di Taman Nusantara, Gelang Patah dan memberi keselesaan terhadap penyuraian trafik pengguna khususnya dari Pekan Nenas, Pontian menuju ke bandar raya Johor Bahru dan Woodlands, Singapura,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik Taraf Jalan Utama Gelang Patah – Ulu Choh (J7), dekat Taman Nusantara, semalam.

 

Selain itu, Mohamad Fazli turut memaklumkan terdapat beberapa lagi projek pembangunan negeri bagi skop jalan dan jambatan di Johor Bahru kini di peringkat perancangan serta pembinaan.

 

Ujar beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor sentiasa berusaha memastikan semua projek seliaannya dapat disiapkan mengikut prosedur dan spesifikasi ditetapkan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor