RM367 JUTA ZAKAT BERJAYA DIPUNGUT TAHUN LALU


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir mengimarahkan Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor (TAJ) peringkat negeri kali ke-12 anjuran JAIJ yang menyaksikan 640 kanak-kanak di awal usia berjaya khatam Al-Quran | Sumber gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) berjaya membuat pungutan zakat harta dan fitrah berjumlah RM367,656,000.63, sepanjang tahun lalu.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian tersebut secara keseluruhannya meningkat 9.9 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM333.4 juta.

 

“Manakala jumlah pembayar zakat harta juga meningkat sebanyak 6.5 peratus daripada 128,437 pembayar pada 2021 kepada 136,789 pembayar pada 2022,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, tambahan kutipan zakat tersebut, sedang disalurkan dengan kadar segera kepada penerima terdiri golongan asnaf serta projek pembangunan di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ).

 

Kata beliau, antaranya adalah pembangunan untuk projek-projek di bawah JAIJ sebanyak RM5.5 juta, pembangunan Sekolah Tahfiz Sains Antarabangsa sebanyak RM5 juta dan Tabung Pembangunan Masjid sebanyak RM3 juta.

 

“Tidak ketinggalan Bantuan Ikhsan Asnaf Fakir, di mana setiap seorang akan menerima RM1,000 dengan peruntukan sebanyak RM5 juta, dan ini memberi manfaat kepada 5,000 orang.

 

“Sumbangan RM300 seorang kepada 8,755 orang nelayan Johor dengan peruntukan sebanyak RM 2.6 juta; sumbangan RM300 seorang kepada 6,666 orang anak yatim yang tinggal di luar asrama dengan peruntukan sebanyak RM 2 juta.

 

“Sumbangan kepada 3,925 orang Penerima Bantuan Dialisis dengan peruntukan sebanyak RM 1.1 juta; sumbangan RM500,000 untuk golongan gelandangan dan sumbangan RM500,000 kepada warga emas 80 tahun ke atas serta golongan orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

 

Terdahulu, beliau hadir mengimarahkan Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor (TAJ) peringkat negeri kali ke-12 anjuran JAIJ yang menyaksikan 640 kanak-kanak di awal usia berjaya khatam Al-Quran.

 

Onn Hafiz berkata, usaha tersebut selaras dengan hasrat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mengenai kepentingan meningkatkan syiar Islam di kalangan kanak-kanak beragama Islam.

 

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada 640 anak-anak TAJ yang diraikan, kerana dalam usia yang cukup muda, iaitu antara 5 hingga 6 tahun sudah berjaya mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran.

 

“Tidak ketinggalan, kepada semua guru-guru TAJ, dan juga ibu bapa serta penjaga, yang berjaya membimbing anak-anak tersebut. Semoga anak-anak Tadika Agama Johor, dan seluruh bangsa Johor akan terus menegakkan syiar Islam dan menjadi penyambung ajaran agama Islam yang suci ini,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor