MANGSA BANJIR JOHOR DI PPS TERUS BERKURANGAN


Jumlah mangsa banjir di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Negeri Johor terus menunjukkan trend penurunan setakat jam 4 petang.

 

ISKANDAR PUTERI — Jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurangan kepada 59 orang daripada 17 keluarga setakat jam 4 petang.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, kesemua mangsa terbabit ditempatkan di tiga PPS masing-masing di Segamat, Batu Pahat dan Mersing.

 

“PPS di Batu Pahat menempatkan 26 orang daripada tujuh keluarga, PPS di Segamat pula menempatkan 26 orang daripada sembilan keluarga manakala PPS di Mersing menempatkan tujuh orang daripada sebuah keluarga.

 

“Jumlah mangsa banjir di PPS menunjukkan trend penurunan berbanding laporan jam 12 tengah hari, iaitu 70 orang daripada 20 keluarga di tiga PPS di ketiga-tiga daerah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu tiada PPS baharu yang beroperasi dan ditutup setakat ini.

 

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan tiga sub-lembangan iaitu Sungai Lenik, Sungai Muar di Kampung Lubok Kepong dan Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai berada pada aras Amaran sementara Sungai Bekok di paras Bahaya.

 

Jabatan Kerja Raya pula memaklumkan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh, dan pemantauan terus dilakukan dari masa ke masa.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor