ROTI LEGENDA BERUSIA LEBIH 80 TAHUN
Dalam arus pemodenan yang kian maju dengan pengendalian masakan menempuh proses transformasi, cara pembuatan roti secara tradisional Salahuddin Bakery masih tidak lapuk ditelan zaman.
Kaedah membakar dengan ketuhar batu-bata dan kayu api oleh kedai roti yang telah melonjakkan imej bandar raya Johor Bahru ini telah digunakan sejak tahun 1937 iaitu sebelum kedatangan Jepun lagi.
Terletak di Jalan Dhoby, Johor Bahru, lokasi ini menjadi tumpuan pelancong dari dalam mahupun luar negeri bahkan luar negara seperti Singapura, tidak kira usia mahupun bangsa.
Tinjauan Media Digital Johor ke Salahuddin Bakery mendapati pelanggan mula mengunjungi premis ini seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan roti kegemaran masing-masing.
Muhammad Amri Ismail, 53, yang telah menjadi pelanggan setia sejak 30 tahun lalu memberitahu teknik pembakaran menggunakan kayu api menjadikan rasa roti dihasilkan lebih sedap selain aromanya membangkitkan selera.
“Saya suka datang ke kedai ini sebab dijamin halal dan roti ini tidak didapati di tempat lain kerana rasa rotinya adalah berbeza dengan kedai biasa,” katanya.
Bagi Ong Teck Kim, 49, dari Singapura berkata, sering datang ke Johor Bahru sejak dari kecil untuk mendapatkan bakeri kegemarannya iaitu karipap kambing dan ayam yang merupakan sajian istimewa Salahuddin Bakery.
“Walaupun harga roti sudah berubah yang dahulunya hanya RM1.00 sahaja dan sekarang RM 2.50, saya masih setia beli setiap bulan bersama anak saya.
“Rasa air tangan itu sedikit berlainan kerana sudah turun menurun generasi tapi aroma roti itu masih kekal sampai sekarang,” katanya.
Difahamkan, Salahuddin Bakery sebelum ini menerima tempahan membuat 200 hingga 300 biji kek muffin daripada pelanggan, namun kini lebih menumpukan kepada belian secara terus di kedai.
Sejak dahulu hingga kini, kebiasaannya pelanggan yang datang akan membeli pelbagai jenis roti dengan kuantiti yang banyak mahupun secara borong.
Keistimewaan roti Salahuddin Bakery bukan sahaja menggunakan cara tradisional malah dihasilkan tanpa pengawet menjadikan kesegaran roti boleh bertahan lama sehingga tiga hari.
‘Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’, Salahuddin Bakery yang digelar oleh pelanggan sebagai ‘Roti Legenda’ terus mengekalkan teknik pembuatan menggunakan ketuhar batu-bata dan kayu api agar tradisi turun-temurun keluarga ini kekal selamanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor