SAMA-SAMA TOLAK SIKAP PENGOTOR – EXCO KERAJAAN JOHOR


Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) membuat pembersihan sampah di Jalan Kampung Bintang Lama.

 

ISKANDAR PUTERI — Pagi bersih, tengah hari kotor. Itulah tahap kedegilan segelintir masyarakat yang dipercayai ‘orang luar’ yang membuang sampah di Jalan Kampung Bintang Lama, dekat Batu Pahat.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata perbuatan tidak bermoral itu telah mencerminkan sikap sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar.

 

“Sebelah pagi dah dibersihkan, menjelang tengah hari ada orang yang tak bertanggungjawab masih membuang sampah di situ. Kenapa tak sudah-sudah tunjukkan perangai buruk?

 

“Saya serius di dalam isu pembersihan sampah di Jalan Kampung Bintang Lama. Pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dah datang buat kerja-kerja pembersihan dua kali,” tegas Mohd Fared di laman Facebook rasminya.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, pihaknya juga membuat kerja-kerja pengindahan di kawasan tersebut bagi mengelak perkara negatif terbabit daripada terus berulang pada masa akan datang.

 

“Kita dengan kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dan Southern Volunteers (SV) akan buat kerja-kerja pembersihan. Seterusnya kita akan tanam pokok untuk elak orang luar buang sampah di sini.

 

“Saya percaya orang Semerah semuanya baik-baik. Marilah sama-sama kita tinggalkan perangai yang tak elok membuang sampah merata-rata ini,” tambahnya.

 

Mohd Fared turut mengajak orang ramai untuk menolak sikap pengotor masyarakat yang suka mengamalkan perbuatan buruk membuang sampah merata-rata dan mempraktikan amalan menjaga kebersihan sebagai satu tanggungjawab bersama.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor