JOHOR TERIMA RM40 JUTA DARI KKR UNTUK BAIK PULIH JALAN DI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata peruntukan itu merupakan peruntukan tambahan daripada sejumlah RM20.8 juta yang telah disalurkan kepada Johor melalui fasa pertama. | FOTO IHSAN, FB Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kerja Raya (KKR) bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM40 juta kepada Kerajaan Negeri Johor bagi kerja membaik pulih jalan di beberapa laluan di negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata peruntukan itu merupakan peruntukan tambahan daripada sejumlah RM20.8 juta yang telah disalurkan kepada Johor melalui fasa pertama.

 

“Saya juga telah berkongsi dengan pihak YB Menteri (Menteri KKR) tentang komitmen Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan kualiti infrastruktur dan jalan raya di Negeri Johor.

 

“Alhamdulillah beliau juga menyambut baik usaha (yang sudah dilaksanakan) di peringkat negeri,” katanya dalam laman sosial Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Menteri KKR Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit kerana telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan itu.

 

“Semoga hubungan baik dan erat ini akan dapat diteruskan demi keselamatan dan keselesaan pengguna”, katanya.

 

Terdahulu, Onn Hafiz bersama rombongan turut melakukan kunjungan hormat kepada Nanta Linggi di pejabatnya di Kompleks Kerja Raya, Putrajaya.

 

Hadir dalam kunjungan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Fazli Salleh dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor