PERUNTUKAN RM1.1 BILION PACU PEMBANGUNAN UNIVERSITI AWAM DI JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sebanyak RM612.8 juta turut diperuntukkan oleh KPT bagi sembilan projek politeknik dan RM96.86 juta bagi tujuh projek membabitkan kolej komuniti. | Foto Ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion bagi 21 projek berkaitan pembangunan Universiti Awam (UA) di Negeri Johor melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sebanyak RM612.8 juta turut diperuntukkan oleh KPT bagi sembilan projek politeknik dan RM96.86 juta bagi tujuh projek membabitkan kolej komuniti.

 

“Terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya KPT yang memperuntukkan RM1.1 bilion melalui RMK-12 bagi 21 projek berkaitan pembangunan UA di Negeri Johor.

 

“Selain itu, KPT juga memperuntukkan sebanyak RM612.8 juta untuk sembilan projek politeknik dan RM96.86 juta bagi tujuh projek kolej komuniti,” tulis Onn Hafiz di laman Facebook rasminya, hari ini.

 

Tambah Onn Hafiz, hasil daripada laporan KPT sebelum ini menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan di Negeri Johor berada di tahap memberangsangkan iaitu pada kadar 94.1 peratus.

 

“Kerajaan Negeri melihat ini sebagai satu petunjuk baik, namun usaha perlu lebih dipergiatkan bagi menarik lebih ramai anak muda Johor untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan juga bidang Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan industri dan pelabur.

 

“Satu pasukan petugas khas antara Kerajaan Negeri dan KPT akan diwujudkan bagi memperinci kerjasama kedua-dua pihak untuk meningkatkan taraf pembangunan pendidikan di Negeri Johor serta menyampaikan hasrat dan keperluan Kerajaan Negeri berhubung isu pendidikan,” katanya.

 

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabat Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya, hari ini.

 

Onn Hafiz turut menekankan kepentingan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan khususnya dengan KPT bagi memastikan isu tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat disediakan untuk menampung keperluan industri kelak.

 

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendidikan merupakan teras utama dalam agenda Maju Johor bagi menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030.

 

“Lahirnya bakat dari rakyat Johor yang mahir dan berpelajaran akan menjadi suatu ‘pull factor’ bagi membawa lebih banyak lagi syarikat luar dan dalam negara untuk melabur di Johor, selain memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi.

 

“Ia turut memberi manfaat kepada rakyat melalui perkongsian ilmu, kepakaran serta kemahiran pengendalian teknologi tinggi dan terkini,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor