SASAR BINA 80,000 RMMJ SEHINGGA 2029

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan penyampaian SLMR kepada penerima di Dewan Muafakat Simpang Renggam. | Foto MDJ Wira Anggara
#Kluang – Kerajaan Negeri mensasarkan pembinaan 80,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bagi membantu rakyat di negeri ini merealisasikan impian memiliki kediaman sendiri menjelang tahun 2029.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30,000 unit RMMJ akan dibina bagi tempoh bermula 2022 hingga 2026 seperti yang disasarkan diikuti dengan sasaran terbaharu iaitu 50,000 unit pada tahun 2027 hingga 2029.
Sasaran berkenaan turut disokong dengan pelaksanaan Program Johor Housing One Stop Center (J-Home OSC) oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) yang berperanan penting memudahkan rakyat terutama golongan pendapatan rendah memohon dan memiliki RMMJ.
Terbaharu, seramai 400 orang menerima Sijil Layak Menduduki Rumah (SLMR) bagi projek perumahan di daerah Kluang iaitu Taman Bukit Perdana Fasa 1 & 2, Taman Akasia Fasa 3A & 3B dan Taman Era 2, Simpang Renggam.
Atas inisiatif program J-Home OSC dengan kerjasama pemaju terlibat seperti Parkland Group, KCC Central Berhad dan Hektar Berlian Sdn.Bhd. berjaya membolehkan pemohon di Kluang khususnya Simpang Renggam memiliki rumah sendiri yang diimpikan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir ke Program J-Home OSC RMMJ Daerah Kluang dan menyempurnakan penyampaian SLMR kepada penerima di Dewan Muafakat Simpang Renggam, hari ini.
Turut hadir, YB Dato’ Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor; YB Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif PKPJ; YBhg. Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang; YBhg. Encik Mohd Fahmy Yahya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang serta YBhg. Encik Mohd Fa’iz Salehon, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam.
#RMMJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor