LATIHAN PROFESIONAL PERKASA KEMAHIRAN BELIA JOHOR

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan tinjauan pelaksanaan latihan modul profesional berkaitan pusat data di Edusky Learning Academy. | Foto Aznan Tamin
#IskandarPuteri – Usaha bagi memperkasakan pembangunan modal insan di Johor terus dilaksanakan menerusi penganjuran program latihan profesional berkaitan teknologi pusat data bertempat di Edusky Learning Academy yang berjaya menarik penyertaan seramai 60 belia.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama erat Kolej Kemahiran Johor (KKJ) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini disediakan secara percuma dan ia mendapat pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Johor melalui inisiatif Majlis Pembangunan Bakat Negeri Johor (JTDC).
Program latihan profesional berkenaan diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan teknikal secara komprehensif kepada para peserta dalam bidang pengurusan dan operasi pusat data, selaras dengan permintaan pasaran industri berkenaan yang semakin meningkat terhadap kemahiran berimpak tinggi dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi.
Bagi tujuan itu, sebanyak 15 sesi kelas intensif telah disediakan membabitkan tempoh antara lima hingga tujuh jam yang dilihat berjaya memberi ruang kepada para peserta memahami lebih mendalam berkaitan aspek teknikal dan keselematan dalam pengendalian pusat data moden.
Selain itu, pendedahan juga diberikan berkaitan pengenalan kepada pusat data, operasi infrastruktur, sistem bekalan kuasa voltan tinggi dan rendah, sistem penyejukan dan kawalan kelembapan, perlindungan kebakaran serta pemantauan keselamatan fizikal dan operasi penyelenggaraan.
Platform ini bukan sahaja menjadi peluang keemasan bagi Orang Muda Johor meningkatkan kemahiran dan kebolehan pasaran, tetapi ia turut direka dengan pendekatan yang praktikal serta berpandukan kepada keperluan industri semasa dalam usaha memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan tinjauan pelaksanaan latihan modul profesional berkaitan pusat data di Edusky Learning Academy pada Ahad.
#WTN
#PusatData
#JTDC
#EduskyLearningAcademy
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas