SEDEKAD HEBHK BERI KHIDMAT KEPADA PENDUDUK KLUANG


Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr Aman Rabu menghadiri Majlis Sambutan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang / Gambar Ihsan HEBHK

 

ISKANDAR PUTERI — Bermula dengan 268 katil dan 10 kepakaran perubatan pada 2012, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang kini terus mengorak langkah dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.

Kini selepas sedekad berlalu, fasiliti yang terdapat HEBHK sudah dinaiktaraf kepada 382 katil dan mempunyai 15 kepakaran perawatan kepada pesakit.

Justeru, sempena sambutan 10 tahun HEBHK ia bukan sahaja menjadi peringatan detik bersejarah kepada warga hospital yang berpangkalan di daerah Kluang itu tetapi juga menambahkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pada Majlis Perasmian Sedekad HEBHK yang disempurnakan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr Aman Rabu itu pelbagai acara telah dikelolakan oleh pihak hospital berkenaan.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengarah HEBHK, Dr Mohamad Nizam Subahir, itu turut berlangsung upacara perasmian Galeri HEBHK yang diwujudkan oleh pihak hospital bagi menggambarkan evolusi pembangunan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam itu dari awal hingga kini.

Selain itu, hospital berkenaan turut menyediakan kemudahan Locker4u yang menjadi nilai tambah kepada perkhidmatan farmasi bagi memberi kemudahan kepada pesakit untuk pengambilan ubat.

Jabatan Farmasi dan Bekalan turut disediakan di HEBHK bagi memberikan kebebasan kepada pesakit untuk mengambil ubat mengikut kesesuaian masa masing-masing dan ia dijangka mula beroperasi pada Januari 2024.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor