KERJA PENURAPAN JALAN DI HSAJB HINGGA 20 DISEMBER INI.


Notis penurapan jalan yang akan dilaksanakan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru bermula 13 hingga 20 Disember ini / Gambar Ihsan HSAJB

 

ISKANDAR PUTERI — Kerja penurapan jalan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini sehingga 20 Disember depan.

Dalam notis yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasminya berkata, kerja penurapan jalan itu akan dilaksanakan di HSAJB mengikut empat fasa dan akan dilakukan pada tempoh yang ditetapkan.

“Bagi fasa pertama yang bermula hari ini hingga esok, kerja penurapan jalan akan bermula dari jam 6 petang hingga 6 pagi membabitkan Bangunan Teratai, Makmal Tibi, Makmal Serologi, Makmal Kaji Kuman dan Central Plant.

“Kerja berkenaan juga turut meliputi kawasan Blok Dahlia, Wad Perubatan Perempuan 1,2 dan 3, Klinik Kesihatan Mahmoodiah dan Jabatan Perubatan Forensik,” katanya.

Bagi fasa kedua, kerja penurapan jalan akan dilaksanakan pada 15 dan 16 Disember ini yang akan bermula dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

“Ia akan membabitkan lokasi Pangsapuri Sri Murni 1, Asrama Jururawat, Wad Hematologi dan Dewan Rose. Sementara itu, untuk fasa ketiga pula akan dilakukan pada tarikh 17 dan 18 Disember ini.

“Bagi fasa ini, kerja akan dilakukan di kawasan Blok Anggerik, Blok Bunga Raya, Blok Cempaka, Jabatan Radiologi, Jabatan Dietetik dan Sajian, Pusat Bersalin, Bangunan L&D dan simpang Blok Rafflesia pada waktu yang sama,” katanya.

Menurut notis itu lagi, fasa terakhir akan dilaksanakan pada 19 dan 20 Disember ini membabitkan lima lokasi di HSAJB pada waktu yang sama.

“Pada tarikh ini, kerja penurapan akan dilakukan di palang keluar poliklinik, pakir staf poliklinik, pakir staf di stor integrasi, Bangunan Akasia dan Pejabat Medivest,” katanya.

Sehubungan itu, kerjasama semua pengguna jalan raya di dalam HSAJB diminta mematuhi arahan trafik dan pengawal bendera lalu lintas yang bertugas demi keselesaan bersama di sepanjang kerja penurapan jalan ini sedang dilaksanakan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor