SELEPAS 8 DEKAD, KLUANG RAIL COFFEE MASIH BERDIRI TEGUH
KLUANG — Sebut sahaja daerah Kluang, perkara yang pertama terlintas di fikiran ialah ‘Kluang Rail Coffee’. Kedai kopitiam tertua dan tersohor di daerah Kluang itu telah memulakan operasinya sejak tahun 1938 dan kini telah melangkau lima generasi.
Diasaskan oleh Lim Luan Hee, Kluang Rail Coffee bermula sebagai premis kantin di Jalan Stesen, dekat Kluang yang menyediakan minuman kopi dan roti bakar buat para pekerja rangkaian laluan Kereta Api Tanah Melayu (KTMB).
Kini, kopi stesen kereta api itu telah menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai kopitiam tertua di stesen keretapi di Kluang. Malah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan kerabat Diraja yang lain juga pernah mencemar duli bersantap di kopitiam ini.
Hasil tinjauan Media Digital Johor, Kluang Rail Coffee bukan sahaja menarik penggemar kopi di Johor tetapi juga dari seluruh negara menerusi kelainan aroma kopi dan roti bakar yang menjadi kegemaran para pelanggan.
Bagi pengunjung dari Kuala Lumpur, Dayana Ahmad, 35, dia dan ahli keluarga sanggup turun ke Kluang untuk merasai sendiri kelazatan makanan di Kluang Rail Coffee selepas terlihat video di TikTok.
“Saya ke sini selepas melihat satu video di TikTok. Justeru, saya ambil keputusan untuk datang ke Kluang selepas beraya di Segamat dan mencuba roti bakar mentega kaya serta menu yang lain.
”Memang sedap, lain daripada yang lain. Sangat berbaloi..suasananya juga susah nak dapat di Kuala Lumpur. Keadaan kedai yang masih lagi mengekalkan struktur lama juga amat menarik untuk ambil gambar di sini,” katanya.
Sementara itu, Farahin, 27, pula berkata, kelazatan aroma kopi tradisional Hainan yang sesuai dinikmati bersama roti bakar mentega dan kaya menjadi daya tarikan utama kopitiam ini.
“Kopi dan roti bakar adalah menu yang wajib dicuba khususnya di Kluang Rail Coffee. Gandingan mentega dan kaya pada roti bakar sambil dicicah dengan kopi panas, memang sangat melazatkan.
”Rasanya sangat berbeza dengan roti bakar yang kita buat sendiri. Selain roti bakar, nasi lemak dan laksa Johor juga menjadi pilihan saya di sini,” katanya.
Sehingga kini, kedai kopitiam tersebut menerima ribuan pelanggan setiap hari di enam cawangan yang dimiliki antaranya, Jalan Stesen, Jalan Duku, Taman Tasik, Seri Impian, Kluang Perdana dan cawangan luar Johor di Plaza Shah Alam, Selangor.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor