SEMANGAT AZIB ZAFRAN GAMATKAN KOMPLEKS SUKAN EDUCITY


Peninju Johor, Azib Zafran Zolkarnain muncul juara Light Middle (71 kilogram) Kejohanan Golden Gloves Championship 2024 di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Nurina Aisyah

Semangat juang yang tinggi dan membanggakan. Itu yang ditonjolkan oleh Peninju Johor, Azib Zafran Zolkarnain apabila muncul juara Light Middle (71 kilogram) Kejohanan Golden Gloves Championship 2024 di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, malam tadi.

 

Kemenangan epik Azib Zafran bukan sesuatu yang mudah apabila menerima tentangan sengit daripada Peninju Singapura, Aadhi Prahnvh sejak seawal pusingan pertama lagi.

 

Pernah satu ketika, Azib Zafran seolah-olah diambang kekalahan apabila mengalami pendarahan hidung pada pusingan kedua selepas terkena tumbukan padu lawan yang berpunca daripada asakan dan gerakan daripada Aadhi sehingga pertarungan terpaksa dihentikan seketika.

 

Entah bagaimana, insiden itu berubah menjadi ‘tonik mujarab’ buat Azib Zafran yang kembali bangkit melawan dengan penuh semangat hingga menyebabkan rentak peninju seberang tambak mula tidak menjadi dan terpaksa menahan setiap asakan pemuda yang berasal dari Masai, Johor Bahru itu.

 

Semangat melawan dan kemarahan Azib Zafran turut ‘merasuk’ hingga ke tempat duduk penonton apabila suasana bertukar gegak gempita teriakan penyokong memberi semangat kepada wakil Johor itu.

 

Tanpa menoleh kebelakang, Azib Zafran tidak memberikan ruang sedikit pun kepada lawan dan terus mengasak Aadhi sekali gus berjaya mengutip ‘Win On Point’ sebanyak 5:0 dan merangkul kejuaraan bagi kategori Light Middle (71 Kilogram).

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor