DAULAT TUANKU BERGEMA DI CHINGAY 2024


Persembahan tarian singa LED antara tarikan utama perarakan Chingay setiap tahun. | Foto MDJ Dania Farisya

 

Laungan ‘Daulat Tuanku’ menyemarakkan Festival Perarakan Chingay 2024, acara kebudayaan masyarakat Tionghua di Johor sejak tahun 1870 dan menjadi antara simbolik semangat Bangsa Johor yang meraikan kepelbagaian agama dan budaya di negeri ini.

 

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat merasmikan dan menyaksikan kemeriahan festival kali ini. Berangkat sama, DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor serta YAM Tunku Khalsom Aminah Sofiah Binti Tunku Ismail.

 

Kira-kira 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negara menyaksikan perarakan berkenaan yang menampilkan kelainan dengan persembahan tarian empat singa diterangi dengan diod pemancar cahaya (LED).

 

Selain persembahan nyanyian dan tarian, turut dipersembahkan irama Gendang 24 Musim, aksi seni bela diri wushu dan diikuti dengan hampir 100 kontinjen termasuk kereta berhias terdiri daripada pelbagai persatuan dan syarikat korporat berarak dalam perarakan berusia lebih 150 tahun itu.

 

Turut hadir, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor dan YBhg. Ho Sow Tong, Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru.

 

#LensaMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor