SEMOGA BERJAYA KONTINJEN JOHOR DI PENTAS PARA SUKMA XX 2022


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah bersama keseluruhan Kontinjen Para Johor | Sumber Facebook Mohd Hairi Mad Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak sembilan acara disertai Kontinjen Para Johor dalam temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 6 November ini.

Acara tersebut merupakan olahraga, renang, ping pong, badminton, powerlifting, tenpin boling, boling padang, catur dan boccia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, seluruh kepimpinan kerajaan negeri dan Bangsa Johor sentiasa memberikan sokongan serta mendoakan Kontinjen Para Johor yang dibarisi 158 orang atlet dan pegawai.

“Selaku EXCO Belia dan Sukan, saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri dan Bangsa Johor amnya sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan agar kontinjen Para Johor dapat memberikan persembahan terbaik dan mengulangi pencapaian Kontinjen Johor dalam SUKMA XX baru-baru ini.

“Jabatan Belia dan Sukan meletakkan sasaran 25 pingat emas menerusi sembilan acara sukan, tetapi saya yakin Kontinjen Para Johor boleh membawa pulang lebih daripada itu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Para Negeri Johor ke Para SUKMA XX MSN 2022 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, semalam.

Dalam SUKMA XX 2022 yang lalu, Kontinjen Johor berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan, iaitu kali pertama dalam sejarah penganjuran temasya dwi-tahunan ini.

Kontinjen Johor mengungguli carta kedudukan pingat dengan meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa dan SUKMA yang berlangsung di Kuala Lumpur.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor