SIMULASI KECEMASAN WUJUD PERSEFAHAMAN, UKUR RESPONSE TIME


Latihan Major Exercise PTP M-Dex diaturgerakkan bagi meningkatkan permahaman dalam pengoperasian HAZMAT serta mewujudkan persefahaman pelaksanaan tugas antara agensi | Sumber Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kontena berisi 40 silinder mengandungi gas klorin seberat empat tan ‘terjatuh’ ketika proses memuatkan kontena ke penggerak utama dalam kejadian di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), semalam.

Kejadian tersebut menyebabkan berlakunya ‘kebocoran’ gas klorin sekali gus merekodkan 18 mangsa ambulatori dan bukan ambulatori, serta pengungsian bangunan melibatkan 68 mangsa.

Bagaimanapun, senario cemas berkenaan merupakan sebahagian daripada simulasi Latihan Major Exercise PTP M-Dex yang diaturgerakkan bagi meningkatkan permahaman dalam pengoperasian HAZMAT.

Latihan itu mewujudkan persefahaman pelaksanaan tugas antara agensi melibatkan Bomba PTP, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Kementerian Kesihatan serta Lembaga Pelabuhan Johor.

“Selain penjelasan berkaitan Prosedur Operasi Seragam (SOP), pengukuran tempoh masa tindakan atau ‘response time’ dapat diambil sebagai tanda aras pengurusan insiden,” jelas JBPM Negeri Johor menerusi siaran dimuat naik dalam Facebook rasminya.

Bomba PTP diketuai Pegawai Bomba Afiq manakala Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri pula oleh PBK II Ahmad Nazran, sementara pasukan HAZMAT dipimpin PBK II Shuhaidy.

Latihan tersebut yang bermula jam 9 pagi dan berakhir 3 petang itu melibatkan 16 pegawai dan anggota Bomba PTP serta 23 orang pegawai dan anggota JBPM Negeri Johor.

Agensi lain yang turut serta adalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Seketeriat Bencana Negeri (NADMA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Lembaga Pelabuhan Malaysia dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor