SITUASI BANJIR JOHOR KIAN PULIH, JUMLAH MANGSA TERUS MENURUN


Aktiviti pengagihan kit makanan permulaan di Pusat Pemindahan Sementara oleh Sekretariat Jawatankuasa Bencana Daerah Kluang | Sumber gambar Facebook Apm Kluang.

 

ISKANDAR PUTERI — Situasi banjir di negeri ini, menunjukkan keadaan semakin pulih apabila jumlah mangsa terkini menurun kepada 2,446 orang terdiri 669 keluarga setakat jam 12 tengah hari ini.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, kesemua mangsa banjir ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

 

Menurutnya, jumlah tersebut merekodkan penurunan yang ketara berbanding 3,480 orang terdiri 960 keluarga dalam laporan jam 8 pagi tadi.

 

“Mangsa banjir di Segamat menunjukkan penurunan kepada 28 keluarga terdiri 102 penduduk yang ditempatkan di empat PPS, berbanding 33 keluarga daripada 115 penduduk di enam PPS sebelum ini.

 

“Begitu juga dengan daerah Mersing, jumlah mangsa terkini adalah 234 keluarga terdiri 796 penduduk di enam PPS berbanding terdahulu iaitu 519 keluarga daripada 1,818 penduduk di 12 PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sebanyak lapan PPS telah ditutup setakat tengah hari ini.

 

Antara PPS yang ditutup adalah Dewan Balairaya Kampung Bukit Tunggal di Segamat selain Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, SK Air Papan, SK Sri Mersing, Sekolah Agama (SA) Mersing Kanan, SA Bukit Timbalan dan SA Pengkalan Batu di Mersing.

 

“Situasi banjir di daerah Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi tidak menunjukkan perubahan setakat ini, dari segi jumlah mangsa banjir dan PPS yang beroperasi.

 

“Selain itu, satu PPS telah beroperasi di daerah Muar iaitu Balairaya Kampung Jawa, namun maklumat berkaitan mangsa banjir sedang dikemaskini,” katanya.

 

Dalam laporan sama, turut dimaklumkan tiga sub-lembangan iaitu Sungai Muar, Sungai Kahang di Kampung Contoh dan Sungai Endau di aras Bahaya.

 

Manakala enam sub-lembangan iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Sungai Muar di Kampung Awat, Sungai Muar di Buloh Kasap, Sungai Lenik di Ladang Chaah, Sungai Bekok dan Sungai Sembrong di Empangan Sembrong pada aras Amaran.

 

Mengenai maklumat jalan terputus hubungan yang terkini, beliau berkata, dua laluan masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Tanah Abang (J228) di Mersing serta Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) di Kulai.

 

“Jalan Mawai Lama (J172), Jalan Lok Heng / Mawai / Sungai Mas (FT99) di Kota Tinggi dibuka kepada kenderaan berat. Manakala Jalan Johor Bahru-Endau / Yatamacity (FT003) juga di daerah sama dibuka satu lorong.

 

“Jalan Putting / Kawasan Kebun (J279) dan Jalan Bekok (J150) dibuka kepada kenderaan ringan. Manakala Jalan Kahang Barat (J94), Jalan Kampung Sri Timur (J96) dan Jalan MARDI / Berhadapan Pejabat MARDI (J98) di kluang dibuka kepada kenderaan berat dan ringan,” katanya.

 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laporan jam 1 petang memaklumkan, beberapa daerah di negeri ini di bawah amaran hujan lebat berterusan tahap buruk iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala amaran hujan berterusan tahap waspada di Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian sehingga 30 Januari ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor