SITUASI JEREBU DI JOHOR TERKAWAL


Pengarah JAS Negeri Johor, Dr. Mohd Famey Yusoff memaklumkan situasi jerebu telah menunjukkan trend penurunan pada hari ini, memandangkan hanya satu stesen pengawasan kualiti udara automatik iaitu Batu Pahat masih menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tahap tidak sihat.

 

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor memaklumkan keadaan jerebu di negeri ini, berada dalam keadaan terkawal berikutan tiupan arah angin yang tidak menghala ke Negeri Johor.

 

Pengarah JAS Negeri Johor, Dr. Mohd Famey Yusoff memaklumkan situasi jerebu telah menunjukkan trend penurunan pada hari ini, memandangkan hanya satu stesen pengawasan kualiti udara automatik iaitu Batu Pahat masih menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tahap tidak sihat.

 

“Jika semalam ada lima stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, hari ini cuma ada satu sahaja kerana arah angin bertiup tidak menghala ke Negeri Johor. Memang faktor angin mempengaruhi pergerakan asap dari negara jiran,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor.

 

Tambah Mohd Famey, JAS Negeri Johor juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama ketika situasi sekarang yang semakin menampakkan tanda-tanda positif.

 

“JAS Negeri Johor akan membuat pemantauan kualiti udara secara berterusan. Jadi, sekiranya keadaan mencapai tahap membimbangkan, kami akan membuat pemakluman dan bertindak mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” kata beliau lagi.

 

Selain itu, beliau memberitahu pihaknya juga bersedia untuk menggerakkan alat mengukur bacaan IPU mudah alih di kawasan yang tidak mempunyai stesen pengawasan kualiti udara automatik mengikut keperluan dari masa ke masa.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor