SKIM BANTUAN BAIK PULIH, BINA BAHARU RINGAN BEBAN ASNAF


 

YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor mengumumkan sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk membaik pulih dan membina baharu rumah asnaf Johor. | Foto arkib MDJ

 

Kerajaan Negeri terus memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan kualiti hidup golongan asnaf menerusi peruntukan berjumlah RM15 juta bagi baik pulih dan bina baharu kediaman golongan berkenaan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

 

Inisiatif menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu menyaksikan sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk kerja baik pulih diikuti RM7 juta pula bagi kerja bina baharu rumah golongan asnaf yang dikenal pasti layak menerima bantuan.

 

YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor memberitahu kesemua kawasan DUN menerima RM100,000 untuk melaksanakan inisiatif murni berkenaan demi keselesaan dan kesejahteraan golongan tersebut.

 

Sebanyak 444 rumah dijangka akan dibaik pulih manakala 87 rumah baharu pula akan dibina menerusi skim bantuan MAINJ yang diharapkan dapat mula dilaksanakan pada kadar segera bagi meringankan beban golongan asnaf mendiami kediaman lebih selesa.

 

Permohonan skim bantuan baik pulih dan bina baharu itu boleh dikemukakan kepada Pejabat-Pejabat Daerah seterusnya akan dimajukan ke pihak MAINJ untuk melalui proses tapisan serta penilaian yang tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor