YAYASAN JCORP LANCAR HAB KITAR SEMULA ‘DRIVE THRU’ PERTAMA


Hab Kitar Semula berkonsep pandu lalu yang dilancarkan hari ini di B5 Street Market, Tampoi. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Yayasan Johor Corporation (JCorp) hari ini melancarkan Hab Kitar Semula berkonsepkan pandu lalu pertamanya di B5 Street Market, dekat Tampoi, bagi mewujudkan aktiviti kitar semula sisa pepejal lebih terancang dan sistematik kepada komuniti setempat.

 

Inisiatif berkenaan yang dijayakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) itu telah disempurnakan pelancarannya oleh YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Datuk Bandar MBJB.

 

Ybhg. Rozaini Mohd Sani, Pengerusi Yayasan JCorp memaklumkan hab kitar semula berkenaan yang terbahagi kepada empat bahagian iaitu plastik, kertas, ‘e-waste’ atau sisa elektrik dan elektronik serta lain-lain itu juga menawarkan mata ganjaran.

 

Mata ganjaran yang diraih seterusnya boleh ditebus sebagai menggalakkan amalan kitar semula dengan mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula selain memupuk tindakan kelestarian pengurusan sisa pepejal dan alam sekitar dalam kehidupan seharian masyarakat.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor