SONGKOK MASOOD HUSSIN PERNAH JADI PILIHAN ISTANA


Pemilik Butik Songkok Masood Hussin, Nur Dalila Abd Ghani turut bertanggungjawab menyediakan songkok untuk dipakai oleh Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Negeri Johor. | Foto MDJ Hafez Azhar.

 

Oleh: Badrul Kamal Zakaria, Ariff Nasseem Murad, Farhanah Haziqah Noh, Suhana Mohd Arifin dan Farhan Khair

 

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Siapa sangka hasrat seorang cucu perempuan yang ingin menyambung legasi datuk kesayangannya untuk membuat songkok buatan tangan akhirnya menjadi punca rezeki utama kepada keluarganya.

 

Lebih memberangsangkan, songkok buatan tangan jenama Masood Hussin kini bukan hanya terkenal dalam kalangan penduduk Muar tetapi turut menembusi pasaran nasional dan juga negara jiran seperti Singapura dan Brunei serta menjadi pilihan ‘VIP’ termasuklah mereka yang berstatus bangsawan dari istana.

 

Itulah yang dialami oleh pemilik Butik Songkok Masood Hussin, Nur Dalila Abd Ghani, 43, apabila songkok buatan tangannya kini menjadi pilihan ramai pihak terutama ketika dipadankan dengan busana baju Melayu sehingga turut mendapat perhatian daripada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

 

Ketika diminta mengimbau pertama kali untuk membuat songkok Sultan Johor, Nur Dalila berkata, ia bermula lebih kurang pada tahun 2010 atau 2011 apabila mendapat jemputan daripada baginda untuk membuat songkok khas untuk baginda.

 

Foto MDJ Hafez Azhar.

 

“Waktu itu, tuanku berangkat ke Muar dan kemudian baginda meminta saya untuk ke istana untuk menghasilkan songkok milik tuanku dan juga paduka anakanda yang lain. Memang rasa gementar jugalah sebab saya tidak pernah mengadap tuanku tetapi sebagai rakyat, saya menjunjung titah dan ke istana bagi mengambil ukur lilit tepat kepala baginda dan juga paduka anakanda sebelum membuat songkok.

 

“Jadi, kita cubalah sedaya upaya untuk membuat songkok yang terbaik untuk tuanku dan juga paduka anakanda yang lain. Pada masa itu, saya hanya membuat songkok biasa sahaja sebagaimana yang dititahkan oleh tuanku tetapi reka bentuk songkok itu adalah daripada ilham baginda sendiri termasuklah sulaman ‘SI’ pada bahagian dalam songkok itu,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Nur Dalila berkata, mungkin rezeki Allah kepada dirinya, Baginda Tuanku Sultan sekali lagi berkenan untuk menyuruhnya sekali lagi untuk menghasilkan songkok peribadi baginda tetapi tugasan kali ini agak berat kerana songkok itu akan dibuat sempena istiadat Pemahkotaan Sultan Johor.

 

“Saya sekali lagi dititahkan oleh tuanku untuk ke istana. Saya dan suami saya, Zahedy Zakaria, 45, kemudian ke istana dan dari sanalah kami diberitahu bahawa saya diminta untuk menghasilkan songkok bagi upacara istiadat Hari Pemahkotaan Sultan Johor. Rasa gementar jugalah tapi saya menanam tekad untuk menghasilkan songkok yang terbaik untuk tuanku.

 

“Saya kemudiannya ditunjukkan oleh tuanku pada songkok yang seperti dipakai oleh pihak Jumaah Majlis Diraja Johor tetapi titah tuanku ia sedikit lain kerana baginda tidak mahu ada ‘hiasan tepi’ songkok seperti digam dan jenis bertingkat. Tuanku kemudian memberitahu butiran yang selanjutnya.

 

“Songkok khas ini sebenarnya diinspirasikan oleh tuanku daripada songkok yang pakai oleh Almarhum Sultan Sir Abu Bakar cuma ia diberi nafas baharu oleh baginda kerana ia berbentuk bulat berbanding songkok yang dipakai oleh tuanku yang berbentuk bujur yang dipadankan dengan rupa paras baginda,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya mengambil tempoh yang agak lama berbanding songkok biasa yang boleh disiapkan dalam tempoh satu hari kerana memerlukan ketelitian dan ketepatan sebagaimana yang dititahkan oleh baginda, selain ia adalah reka bentuk baharu, eksklusif, ‘rare’ dan bakal digunakan pada hari yang penuh bersejarah.

 

“Saya kemudiannya mempersembahkan songkok yang dihasilkan kepada tuanku. Dari situ, tuanku akan melihatnya dan memberikan sedikit ulasan untuk saya perbetulkannya semula. Ia termasuklah ketinggian songkok terbabit yang pada asalnya dibuat daripada empat inci yang kemudiannya direndahkan kepada tiga inci setengah.

 

Foto MDJ Hafez Azhar.

 

“Songkok sempena hari pertabalan tuanku ini juga diperbuat daripada bahan eksklusif iaitu baldu berwarna biru diraja atau ‘royal blue’ yang mana fabrik ini adalah daripada kualiti yang terbaik dan tidak salah saya, ia diimport khas dari Jerman,” katanya.

 

Nur Dalila berkata, proses untuk menghasilkan songkok ‘khas dan istimewa’ itu turut menyebabkannya beberapa kali berpeluang menghadap baginda termasuk di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

 

“Ketika sudah siap, saya mempersembahkan songkok itu kepada tuanku, tuanku minta ubah sedikit lipatan. Saya balik ke Muar dan ikut arahan daripada tuanku. Sekali lagi saya mengadap tuanku dan kali ini tuanku bersetuju. Songkok khas itu kemudiannya akan disematkan dengan permata mahkota tuanku tetapi untuk proses itu tuanku bertitah yang tuanku sendiri akan menebuk dan memasang permata itu.

 

“Songkok khas itulah yang dikenakan oleh tuanku ketika permulaan istiadat Pemahkotaan Sultan Johor yang diarak dari Istana Bukit Serene hingga ke Istana Besar sebelum kemuncaknya istiadat iaitu tuanku akan dipakaikan dengan mahkota kebesaran Negeri Johor,” katanya.

 

Ditanya mengenai perasaannya ketika melihat detik bersejarah itu, Nur Dalila tidak menyembunyikan perasaan gembira, teruja, bersyukur kerana hasil karya seni tangannya digunakan oleh sosok tubuh yang amat disanjunginya iaitu DYMM Sultan Ibrahim.

 

“Sebagai anak jati Johor, saya berasa bangga kerana tuanku sudi menggunakan songkok yang dihasilkan oleh tangan saya sendiri dan sehingga kini saya rasa berbesar hati kerana diberikan peluang untuk merekakan khas songkok sempena hari pertabalan tuanku. Ini adalah pengalaman yang besar dan paling manis sepanjang dalam hidup saya,” katanya.

 

#SultanBerjiwaRakyat
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor