SONGKOK MASOOD HUSSIN WARISAN MUAR


Antara songkok yang dihasilkan oleh Butik Songkok Masood Hussin, Muar / Foto Ihsan Butik Songkok Masood Hussin

Oleh Badrul Kamal Zakaria

MUAR — Jika anda berkunjung ke daerah ini rasanya kunjungan anda pasti kurang lengkap jika tidak memiliki ‘ole-ole’ songkok istimewa dari Butik Songkok Masood Hussin.

Ini kerana, Butik Songkok Masood Hussin dekat deretan kedai di Jalan Majidi di sini, bukan setakat menghasilkan songkok secara buatan tangan, malah pelanggan boleh menempah sendiri rekaan, warna dan fabrik mengikut ukuran lilitan kepala yang tepat.

Lebih membanggakan, songkok yang dihasilkan butik itu bukan setakat menarik pelanggan tempatan, malah ia pernah menerima tempahan istimewa daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan bekas Perdana Menteri iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Tuan Yang Terutama Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Pemiliknya, Nur Dalila Abd Ghani, 42, berkata minatnya kepada pembuatan songkok bermula sejak kecil kerana sering menemani datuknya, Allahyarham Masood Hussin, membuat songkok di kedai lamanya di Jalan Abdullah.

“Saya amat rapat dengan arwah datuk kerana tinggal bersamanya. Sebagai cucu sulung, saya sering menemaninya ketika membuat songkok yang ditempah atau untuk jualan di kedai.

“Saya tidak menyangka ia mula menimbulkan minat dalam bidang ini. Selepas tiada sesiapa dalam kalangan ahli keluarga yang berminat meneruskan usaha ini, saya kemudian berazam untuk meneruskan perniagaan songkok yang dimulakan oleh arwah datuk saya,” katanya.

Nur Dalila berkata, beliau mula mengambil alih perniagaan membuat songkok itu pada 2002 sejurus menamatkan pelajaran dan juga selepas dua tahun datuknya meninggal dunia

“Saya merupakan graduan dalam jurusan Sains Sukan dan Rekreasi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM). Demi kasih sayang kepada arwah datuk, saya bertekad menceburi bidang pembuatan songkok supaya legasinya diingati dan berterusan.

“Saya tidak menyangka ia akhirnya menjadi kerjaya hingga kini dan menguruskan perniagaan ini bersama suami, Zahedy Zakaria, 44,” katanya.

Ditanya kenangan manis sepanjang mengusahakan perniagaan songkok itu, Nur Dalila berkata pihaknya begitu teruja apabila diberi tanggungjawab menghasilkan songkok eksklusif untuk Sultan Johor ketika istiadat pemahkotaan baginda pada 2015.

“Saya dan suami amat terharu apabila baginda berkenan memilih butik kami untuk menyiapkan songkok khas bagi upacara bersejarah itu. Bagi tujuan itu, baginda sendiri memberi cadangan reka bentuk yang dikehendaki baginda.

“Bagi menunaikan amanah dan tanggungjawab itu, saya sendiri membuatnya. Songkok baginda dibuat secara eksklusif dengan menggunakan fabrik baldu berwarna biru diraja. Rekaan songkok itu hanya eksklusif untuk baginda sahaja dan kami tidak menyediakan tempahan sama untuk pelanggan lain.

“Selain khas untuk tuanku Sultan, kami pernah diberi tanggungjawab menyediakan songkok untuk digunakan kerabat diraja Johor termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda baginda yang lain,” katanya.

Beliau berkata, selain itu pihak Butik Songkok Masood Hussin juga pernah diberi tanggungjawab menyediakan kelengkapan persalinan Melayu itu untuk kegunaan Ahli Jumaah Diraja Johor, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor dan Pegawai Tertinggi Pentadbiran Negeri (JCS) Johor .

Katanya, bagaimanapun ia pengeluaran songkok terbabit hanya terhad dan eksklusif untuk kegunaan individu kehormat berkenaan sahaja.

“Bagaimanapun, pelanggan biasa jangan berasa bimbang kerana mereka masih boleh memiliki songkok buatan Muar kami ini mengikut citarasa masing-masing dengan harga yang mampu milik jika berkunjung ke butik kami ini.

“Kami hanya menggunakan bahan asas termasuk fabrik yang bermutu tinggi. Malah, bagi keselesaan pemakai songkok, kami turut meletakkan fabrik lembut di bahagian dalam songkok bagi memastikan pelanggan berasa lebih selesa dan yakin dengan menggunakan songkok selain mereka boleh menggunakan ukuran yang tepat berdasarkan ukur lilit kepada mereka,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor