SOUTHERN VOLUNTEERS PENGGERAK KHIDMAT KESUKARELAWANAN


Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), YB Dato’ Haji On bin Jabbar bersama sukarelawan Southern Volunteers melakukan kerja memunggah SV Box untuk diedarkan kepada mangsa di daerah yang terjejas.

 

Berikut adalah intipati Sesi Temubual Khas MDJ Bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), YB Dato’ Haji On bin Jabbar.

 

SOALAN: Boleh Dato’ kongsikan kepada kami mengenai penubuhan Southern Volunteers dan apakah matlamat serta peranan sebenar?

JAWAPAN: Penubuhan Southern Volunteers asalnya adalah Sukarelawan Darul Ta’zim (SDT) dan telah melalui penjenamaan kepada nama yang baharu, (iaitu) Southern Volunteers dan kita daftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Matlamat utama Southern Volunteers ini adalah untuk program kepada belia membuat kerja kesukarelawanan. Pada masa kini, gerak kerja Southern Volunteers ini di seluruh daerah lebih kepada misi bantuan banjir. Sebab sekarang ini (sedang) berlaku Monsun Timur Laut.

Dari segi misi bantuan banjir, Southern Volunteers membantu agensi-agensi berkaitan yang terlibat secara langsung dengan mangsa banjir. Sebagai pembantu terutama di pusat pemindahan sementara. Kita juga menghantar kotak makanan iaitu SV Box dan edarkan kepada Southern Volunteers daerah untuk mereka agihkan kepada mangsa banjir.

 

SOALAN: Selain gerak kerja misi bencana alam seperti banjir, apakah khidmat lain diberikan oleh Southern Volunteers?

JAWAPAN: Matlamat utama Southern Volunteers ini adalah untuk melibatkan golongan belia di dalam bidang kesukarelawanan. Tapi, di luar musim banjir, sukarelawan banyak membantu agensi-agensi yang berkaitan di daerah-daerah.

Struktur organisasi Southern Volunteers ini di peringkat negeri, adalah di peringkat ibu pejabat. Selain itu, di peringkat daerah diketuai atau dipengerusikan oleh Datuk Bandar dan Yang Dipertua bagi Pihak Berkuasa Tempatan.

Jadi banyak program dilaksanakan oleh PBT ini, Southern Volunteers dukung dan libatkan diri. Sekarang ini, PBT melaksanakan program Johor Bersih. Maka, sukarelawan kita di kalangan belia turut terlibat dalam aktiviti dianjurkan.

Gerak kerja khidmat bakti Southern Volunteers begitu luas, contohnya gotong royong, membantu golongan memerlukan dan membersihkan kediaman warga emas.

 

SOALAN: Sejak ditubuhkan hingga kini, berapa jumlah ahli Southern Volunteers yang ada di Negeri Johor, apakah segmentasi ahli dari sudut usia dan latar belakang?

JAWAPAN: Dari segi bilangan, yang berdaftar dengan Southern Volunteers terkini lebih kurang 23,000 orang. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang berusia bermula 15 tahun hingga ke 40 tahun.

Bagaimanapun, kebanyakan sukarelawan Southern Volunteers ini lebih kepada belia lepasan sekolah. Golongan ini sangat aktif dan ada di antara mereka sertai Southern Volunteers sementara menunggu peluang pekerjaan dan sebagainya.

 

SOALAN: Sejak ditubuhkan, apakah gerakan khidmat sukarelawan Southern Volunteers tertumpu kepada Negeri Johor sahaja, atau telah memberikan bantuan ke luar negeri?

JAWAPAN: Sudah tentu, tumpuan utama diberikan kepada khidmat di dalam negeri. Tetapi, Southern Volunteers sentiasa berada dalam kesiap siagaan yang tinggi. Maksudnya, jika berlaku kejadian bencana di luar Johor, kita juga akan membantu sekiranya diperlukan.

Contohnya, sebelum ini, Southern Volunteers dengan sukarelawan kira-kira 600 orang telah membantu mangsa banjir di Shah Alam dan Hulu Langat di Selangor. Masa itu, kekuatan digunakan adalah Southern Volunteers di peringkat PBT yang mempunyai sumber manusia, logistik dan peralatan.

 

SOALAN: Antara gerak kerja Southern Volunteers bagi pasca banjir?

JAWAPAN: Dalam situasi sekarang di Negeri Johor, masih lagi ada PPS dibuka, baru dibuka pun ada. Jadi, gerak kerja kita masih tertumpu kepada pengagihan SV Box, masih lagi aktif membantu.

Dalam masa yang sama, ada daerah-daerah juga yang mana PPS ditutup dan aktiviti utama iaitu aktiviti pasca banjir ini adalah pembersihan yang bergantung kepada permintaan.

Apabila ada permintaan untuk kita bantu, Southern Volunteers daerah-daerah ini akan segera dan banyak membantu kepada mangsa banjir untuk membersihkan rumah terutamanya golongan warga emas.

Semalam Southern Volunteers di peringkat ibu pejabat telah membantu Southern Volunteers di daerah Kluang untuk membersihkan PDK Pekan Kahang dan juga Dewan Serbaguna Kampung Contoh Kahang untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan. Gerak kerja misi pasca banjir ini berterusan dan sudah berjalan di daerah-daerah.

 

SOALAN: Dakwaan kononnya Southern Volunteers sebagai ‘alat politik’, apakah pandangan Dato’?

JAWAPAN: Matlamat asal Southern Volunteers adalah memberi peluang kepada golongan belia satu platform untuk melaksanakan kerja kesukarelawanan. Pihak yang menguruskan Southern Volunteers ini adalah di kalangan kakitangan kerajaan di peringkat ibu pejabat dan di daerah.

Cuma dari segi suasana khidmat kesukarelawanan, gerak kerja dan aktiviti dianjurkan turut melibatkan pelbagai pihak lain termasuk penggerak politik. Southern Volunteers menjalin hubungan yang rapat dengan penggerak politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jadi, kalau ada dakwaan mengatakan Southern Volunteers sebagai ‘alat politik’ bagi parti politik tertentu, pada saya tidak benar. Sebab kerja kesukarelawanan ini, matlamat utama kita adalah untuk membantu mereka yang memerlukan.

 

SOALAN: Terakhir, apakah harapan Dato’ terhadap kewujudan Southern Volunteers?

JAWAPAN: Harapan saya sebenarnya dalam Southern Volunteers ini, saya dapat memberi peluang kepada Orang Muda Johor untuk bersama dan seterusnya menjadikan jenama Southern Volunteers ini sebagai satu platform untuk mereka melaksanakan aktiviti bermanfaat seperti kesukarelawanan.

Sekiranya kumpulan anak muda ini ada sebarang idea yang baik, inilah platform mereka. Boleh kemukakan pandangan kepada kita, dan marilah kita bersama melaksanakan, sebab khidmat kesukarelawanan ini terlalu luas dan subjektif.