SOUTHERN VOLUNTEERS TERUSKAN KHIDMAT SUKARELAWAN BANJIR


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyampaikan Kotak SV kepada mangsa banjir di PPS Dewanraya Kampung Sungai Tiram, hari ini.

 

JOHOR BAHRU — Hampir 800 Kotak Southern Volunteers telah diagihkan oleh sukarelawan Southern Volunteers (SV) kepada mangsa di daerah yang terjejas dalam kejadian banjir kali ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, usaha pembungkusan Kotak SV berisi barangan keperluan masih diteruskan untuk diagihkan kepada penerima.

 

“Bantuan awal yang dapat kita berikan pada ketika ini, dari segi misi bantuan adalah dengan mengagihkan ‘SV Box’. Setakat hari ini sahaja, hampir 800 ‘SV Box’ kita (telah) edarkan di seluruh Johor.

 

“Selepas ini (apabila banjir pulih), adalah (misi) pasca banjir. Saya melihat ramai sukarelawan (SV) mahupun NGO luar (sudah) bersiap siaga untuk membantu di penempatan (yang terjejas) di seluruh Johor,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewanraya Kampung Sungai Tiram, dekat Ulu Tiram.

 

Selain menyantuni mangsa banjir, beliau turut berkesempatan menyampaikan Kotak SV serta meluangkan masa bersama petugas keselamatan yang berkhidmat di PPS tersebut.

 

Dari segi kekuatan sukarelawan SV di PPS, Mohd Hairi berkata, jentera sedia ada pada ketika ini menjadi kumpulan sokongan kepada petugas barisan hadapan dengan memberikan khidmat bantuan asas.

 

Justeru, beliau mengajak Bangsa Johor untuk bermuafakat membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat banjir sama ada dalam bentuk sumbangan tunai mahupun tenaga, sebagai solidariti kepada mangsa.

 

“Saya menyeru rakan-rakan di luar sana, mari bersama dengan SV atau NGO lain, berganding bahu untuk membantu (mangsa) terutama dari segi (misi) pasca banjir selepas ini.

 

“Kita (mungkin) memerlukan (kira-kira) 1,000 hingga (ke) 2,000 sukarelawan untuk misi pasca banjir di seluruh Johor,” katanya.

 

Ditanya mengenai keperluan tambahan bagi menjayakan misi pasca banjir selepas ini, Mohd Hairi memberitahu akan memohon kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi tujuan tersebut.

 

“Saya akan memohon kepada Menteri Besar sekiranya ada keperluan seperti ‘water jet’ dan barangan lain untuk kita segerakan. Apatah lagi Menteri Besar sentiasa turun ke bawah melihat situasi banjir,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor