PERDANA MENTERI MINTA BANTUAN BANJIR DIOPERASIKAN DENGAN SEGERA


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni mangsa banjir ketika melakukan Lawatan Kerja Ke Lokasi Banjir Daerah Segamat / Gambar MDJ.

 

SEGAMAT — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melakukan lawatan kerja dan menyantuni mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) Kampung Tengah, Segamat.

Lawatan tersebut diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi melihat sendiri situasi dan keadaan mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini.

Dalam lawatan tersebut, beliau meminta agar segala peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan dijalankan dengan segera selepas keadaan banjir mula reda.

“Ada beberapa projek akan disegerakan, dan peruntukan itu akan mengurangkan beban yang dipikul oleh rakyat kerana kehilangan harta benda dan kerosakkan bekalan elektrik dan air.

“Saya minta jabatan (kerajaan) terbabit menyegerakan operasi sebaik sahaja air mula surut, dan selain daripada Jabatan-jabatan kerajaan (Persekutuan), Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Wilayah Persekutuan akan mengirimkan bantuan seperti kereta dan lori untuk mengangkut sampah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bantuan daripada mahasiswa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan diselaraskan sebagai usaha membantu mangsa terjejas pada pasca banjir.

“Kita selaraskan dengan mahasiswa dan NGO untuk turun membantu keluarga yang terkesan membersihkan rumah mereka dan Insyaallah penyelarasan di Johor berlaku dengan baik, saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media di SJKC Kampung Tengah, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti Jabatan Kerajaan, termasuk Polis, Tentera, NGO dan orang awam.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua jabatan, ini hebatnya semua rakyat, kita tengok Melayu, Cina dan India bila datangnya masalah semuanya bekerjasama.

“Ini termasuk Jabatan-jabatan Kerajaan baik keselamatan, polis, tentera, semua dikerahkan dan Kerajaan-kerajaan Negeri berhampiran pun turut memberikan kerjasama dan bantuan yang diselaraskan oleh NADMA,” Katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor