STESEN TELEMETRI PANTAU ENAM SUNGAI JOHOR
KULAI — Enam stesen telemetri siap dibina dan beroperasi bagi membuat pemantauan kualiti air secara berkala menggunakan teknologi geospatial secara dalam talian ke atas sungai di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kesemua stesen tersebut dibina di Sungai Skudai, Sungai Semangar, Sungai Johor, Sungai Sayong, Sungai Benut dan Sungai Muar.
Menurutnya, stesen telemetri itu berfungsi menyediakan maklumat secara dalam talian kepada Badan Kawalselia Air Negeri Johor (BAKAJ) sebagai persediaan berlakunya pencemaran sungai.
“Telemetri ini akan memberi maklumat secara dalam talian kepada pihak BAKAJ supaya kita boleh bersedia lebih awal sekiranya berlaku pencemaran khususnya Sungai Skudai ini yang dikategorikan kelas ketiga.
“Projek ini penting untuk kita pastikan kejadian pencemaran air sungai tidak lagi berlaku. Jadi kita dapat kawal dengan lebih awal,” katanya kepada Media Digital Johor selepas mengadakan tinjaun ke Stesen Telemetri Sungai Skudai, pada Selasa.
Mohamad Fazli berkata, kesemua stesen telemetri melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM5.6 juta itu juga berkemampuan mengenal pasti paras semasa sungai.
“Pada masa akan datang, pertambahan projek ini akan dilaksanakan kerana kualiti air sangat penting khususnya di kawasan tengah Johor di kawasan Kulai dan sedenak.
“Jadinya pemantau secara berterusan terhadap kualiti air sangat penting sebab kita tidak mahu kejadian yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berulang,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor