SWM ENVIRONMENT LAKSANA PEMBERSIHAN PASCA BANJIR


SWM Environment melalui Operasi Bantuan Banjir telah mula melaksanakan Inisiatif Pembersihan Pasca Banjir bagi membersihkan enam daerah yang terjejas banjir.

 

ISKANDAR PUTERI — SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) telah melaksanakan inisiatif pembersihan pasca banjir bagi membersihkan enam daerah yang terjejas, secara berperingkat.

 

Operasi bantuan banjir tersebut dijayakan di Kluang, Segamat, Johor Bahru, Kulai, Mersing dan Kota Tinggi dengan berat kutipan sisa banjir terkumpul berjumlah 160,000 kilogram setakat hari ini.

 

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, usaha itu dilaksanakan oleh hampir 100 orang anggota barisan hadapan pengurusan sisa pepejal dengan sokongan sekitar 30 buah kenderaan berjentera.

 

Menurut beliau, antara kenderaan berjentera itu adalah lori Open Tipper, lori Roll-On Roll-Off (RORO) dan jentolak melalui jalinan kerjasama dengan SWCorp Negeri Johor serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

“Terdahulu, pihak SWM Environment telah memulakan Operasi Bantuan Banjir melalui perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di hampir 220 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk yang terletak di luar kawasan perkhidmatan syarikat konsesi sejak bencana banjir melanda negeri Johor.

 

“Inisiatif ini dilaksanakan oleh seramai 60 orang anggota kerja dengan sokongan sekitar 20 buah lori kompaktor yang menyaksikan penempatan dan penambahan sekitar 330 unit tong sampah beroda,” katanya.

 

Selain itu, Mohd Norlisam berkata, pihaknya turut menyarankan agar setiap pemilik premis melaporkan kehilangan tong sampah beroda (TSB) kepada polis jika ia hanyut atau rosak akibat kejadian banjir.

 

“Seterusnya, setiap pemilik premis perlu mengemukakan permohonan penggantian TSB bersama salinan laporan polis berkenaan secara dalam talian di laman sesawang www.swmenvironment.com.

 

“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung prosedur penggantian TSB tersebut boleh menghubungi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 atau WhatsApp kepada 012-618 0082,” katanya.

 

SWM Environment akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan pihak SWCorp, PBT dan agensi berkaitan di negeri Johor untuk memastikan tahap kebersihan di kawasan terjejas banjir kembali pulih serta memudahkan mangsa melaksanakan pembersihan dan pelupusan sisa pasca banjir di kediaman masing-masing.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor