KERAJAAN JOHOR ZAHIR PENGHARGAAN KEPRIHATINAN PM


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap mangsa banjir di Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor merakamkan penghargaaan kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan diberikan bagi meringankan kesukaran dihadapi berikutan bencana banjir yang melanda negeri ini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berterima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap mangsa banjir di Johor.

 

“Perdana Menteri telah menjawab di Sidang Dewan Rakyat hari ini, untuk mengarahkan semua bank membantu rakyat yang terjejas akibat banjir. Maybank, CIMB, dan Agrobank telah menyediakan moratorium pinjaman sehingga 6 bulan.

 

“Umum mengetahui, Perdana Menteri juga telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta, bersama peruntukan RM10 juta yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri I, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk keperluan pengurusan banjir di Johor.

 

“Perdana Menteri juga menyatakan tekad untuk menyegerakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di tiga daerah iaitu Batu Pahat, Segamat dan Kota Tinggi bernilai RM600 juta atau lebih,” kata beliau di Facebook rasminya, hari ini.

 

Menteri Besar Johor berkata, keprihatinan Kerajaan Persekutuan itu demi kemaslahatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir di negeri ini.

 

“Kerajaan Negeri Johor dengan rasa rendah hati mengucapkan jutaan penghargaan kepada seluruh kementerian dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan atas bantuan yang diberi. Semoga manfaat ini memberi sejuta sinar kepada seluruh Bangsa Johor,” kata beliau.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor