SYED HUSSIEN ANGKAT SUMPAH


Syed Hussien Syed Abdullah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negeri Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Syed Hussien Syed Abdullah mengangkat sumpah hari ini sebagai Ahli Dewan Negeri Johor selepas menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N.29 Mahkota pada 28 September lalu.

 

Majlis mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan diadakan di hadapan YB Datuk Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi, Speaker Dewan Negeri Johor pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

 

Dewan Negeri Johor juga merakamkan ucapan tahniah kepada Syed Hussien atas kejayaan memenangi kerusi Dewan Negeri N.29 Mahkota pada PRK baru-baru ini.

 

Dewan Negeri Johor turut merakam ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, selain menitipkan doa agar roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

 

Pada PRK Dewan Negeri N.29 Mahkota minggu lalu, Syed Hussien, 40, meraih majoriti 20,648 undi untuk menewaskan pencabar, Mohd Haizan Jaafar.

 

PRK Dewan Negeri N.29 Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor