TAHNIAH CALON SPM 2022 : MENTERI BESAR JOHOR


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan tahniah kepada 42,795 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 Negeri Johor. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan tahniah kepada 42,795 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 Negeri Johor atas pencapaian amat membanggakan dalam peperiksaan berkenaan.

 

Selain merakamkan kesyukuran, beliau turut berkongsi Indeks Gred Purata Nasional (GPN) Negeri Johor pada tahun lalu bagi peperiksaan itu, yang telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

 

“Syukur Alhamdulillah, GPN Negeri Johor untuk SPM 2022 ialah 4.59 meningkat 0.16 mata berbanding 4.75 pada tahun 2021 dan merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun serta mengatasi rekod GPN Nasional selama sembilan tahun berturut-turut.

 

“Tahniah saya ucapkan kepada 42,795 calon SPM 2022 Negeri Johor atas pencapaian yang amat membanggakan,” kata beliau dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Onn Hafiz juga berkongsikan statistik calon SPM Tahun 2022 memperoleh keputusan cemerlang serta peningkatan jumlah calon yang layak menerima sijil berbanding dengan tahun sebelumnya.

 

“Seramai 1,129 orang calon (2.73 peratus) SPM tahun 2022 telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 1,122 (2.59%) calon pada tahun 2021.

 

“Malah, seramai 20 orang pelajar mendapat A+ dalam semua mata pelajaran. Pencapaian ini juga merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

 

“Selain itu, terdapat peningkatan calon yang layak menerima sijil iaitu 91.54 peratus, meningkat sebanyak 4.04 peratus berbanding 87.5 peratus pada tahun 2021,” katanya.

 

Beliau menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, guru-guru serta ibu bapa yang telah bertungkus lumus dan sentiasa mendoakan kejayaan semua calon SPM Tahun 2022.

 

“Perjalanan tidak terhenti di sini. Saya menyeru anak-anak Bangsa Johor untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi selepas ini, agar Negeri Johor terus melahirkan bakat-bakat muda dan tenaga mahir berkualiti tinggi dalam memacu Malaysia dan Johor ke tahap kecemerlangan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor